» » Pisahkan fungsi farmasi dan klinik belum muktamad lagi


Kerajaan masih belum memuktamadkan cadangan untuk mengasingkan fungsi farmasi dan klinik yang kini masih dalam proses mendapatkan maklum balas rakyat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata kementeriannya kini dalam proses mengadakan dialog khusus dengan kumpulan pengamal perubatan.

"Memang ada cadangan (daripada Kementerian Kesihatan) untuk meminda akta berkaitan farmasi bagi asingkan fungsinya. Tetapi saya minta dibentangkan balik selepas mendapat maklum balas rakyat dan diadakan dialog dengan pihak berkaitan.

"Kerajaan akan mengambil kira semua pandangan terutama daripada rakyat sebelum membuat keputusan (meminda akta). Saya minta jangan dibuat apa-apa spekulasi tidak betul mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Kubu hari ini.

Jumaat lepas, Kelab Doktor-doktor Malaysia yang menaungi lebih 8,000 doktor klinik swasta dan badan bukan kerajaan dalam bidang perubatan mengemukakan bantahan terhadap cadangan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi.

Di Kuala Lumpur, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr H Krishna Kumar yang menyokong kenyataan Dr Subramaniam berkata pengasingan fungsi farmasi dan klinik boleh dilakukan selepas penyusunan semula penjagaan kesihatan dilakukan dan menambah, kini berlaku kekurangan farmasi terutama di luar bandar.

Beliau berkata farmasi lebih banyak terdapat di bandar dan mengasingkan farmasi dan klinik akan membebankan lagi penduduk luar bandar.

"Kita mempunyai klinik 24 jam tetapi tidak farmasi 24 jam. Ia akan membebankan penduduk luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak untuk pergi ke bandar bagi mendapat ubat-ubatan yang kini boleh diperoleh daripada pengamal perubatan am di kawasan mereka, " katanya kepada pemberita.

Beliau menambah pemisahan fungsi akan turut membebankan kewangan pesakit kerana perlu membuat pembayaran kepada dua pihak.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .