» » Peniaga kecil masih keliru dengan GST


Peniaga pasar malam Keong terikat dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST); dia tahu pembekal akan mengenakan cukai padanya lebih 6% bagi kasut yang dibelinya menjelang April; tetapi perniagaannya terlalu kecil untuk dia melepasi cukai tambahan itu dikenakan pula pada pelanggannya.

Bagaimanapun, dia sedar jika dia menyerap kos tambahan itu, ia akan mengambil margin perniagaannya menyebabkan pendapatan berkurangan untuknya dan keluarga.

Dilema seperti ini dihadapi ramai daripada 2 juta peniaga dan penjaja di seluruh negara yang terlalu kecil untuk mengenakan cukai pada pelanggan tetapi mereka sendiri terpaksa membayar cukai dikenakan pembekal.

Mereka adalah satu bahagian daripada komuniti perniagaan, kadangkala dipanggil sektor tidak formal, yang bimbang GST secara tidak sengaja akan menyebabkan pendapatan jadi lebih kecil.

Sebahagian lain, seperti Keong, 45, berpendapat jika perniagaan terpaksa menanggung kesan pasca GST dan tidak berupaya menampung keluarga, dia akan tutup kedai dan mencari kerja di tempat lain.

Pengutip cukai untuk kerajaan

Untuk memahami bagaimana GST berfungsi di sepanjang rantaian perniagaan, ia lebih mudah menganggap pengimport, pemborong dan peruncit sebagai “pengutip cukai” untuk kerajaan.

Cukai 6% itu sepatutnya dikenakan dan dibayar oleh pelanggan. Individu yang dikenakan cukai 6% sepatutnya mengutipnya untuk kerajaan.

Kerajaan memutuskan hanya perniagaan yang memperoleh pendapatan tahunan lebih RM500,000 perlu mendaftar dengan kerajaan untuk dikenakan GST atau dalam kata lain, jadi “pengutip cukai”.

Keong dan 9 penjaja dan peniaga lain yang ditemui The Malaysian Insider mewakili perniagaan yang tidak perlu mendaftar dan kutip GST daripada pelanggan.

Semua 10 penjaja menjual barangan yang “kadar standard”, atau dikenakan cukai 6%. Ini termasuk pakaian, kasut, selipar, dompet, tali pinggang, beg tangan, pakaian dalam dan aksesori.

Pembekal mereka cukup besar untuk mengenakan GST kepada mereka. Penjaja itu, bagaimanapun, tidak boleh mengenakan kembali 6% berkenaan kepada pelanggan mereka, bermakna mereka perlu menyerap 6% itu sebagai kos tambahan.

Lazimnya, tindakan balas terhadap kenaikan harga daripada pembekal ialah menaikkan harga barangan mereka kepada pelanggan, tetapi penjaja yang ditemu bual berkata ia tidak semudah itu.

“Saya tidak boleh sewenang-wenang menaikkan harga kerana nanti pelanggan lari dan jualan akan jatuh,” kata Xia, 53, penjaja pasar malam di Kepong yang menjual tali pinggan dan dompet.

Seorang lagi penjaja, Fahmi Ismail berkata menaikkan harga akan memberi risiko kerana pelanggan lebih pandai menilai dan memilih.

“Kuasa beli mereka mengecil. Kami dikenakan cukai oleh pembekal tetapi pelanggan mahu harga yang sama,” kata Fahmi, yang menjual selipar di pasar malam Gombak.

Di kalangan 10 penjaja yang ditemu bual, 5 berkata mereka akan cuba dan serap kos tambahan daripada GST selama mana yang mereka mampu.

Penjaja itu termasuk Xia dan Lee, dari Shah Alam. Lee menjangkakan dia terpaksa mencari lebihan antara RM200 hingga RM300 sebulan apabila pembekal mengenai GST.

Empat daripada 10 penjaja itu berkata mereka mungkin menaikkan harga walaupun berisiko kehilangan pelanggan. Seorang lagi masih belum buat keputusan tindakan selanjutnya.

Sesetengahnya seperti Lim, yang menjual aksesori di Shah Alam, percaya GST akan bertukar memberi manfaat jika penjaja menyesuaikan harganya dengan bijak.

“Kedai besar akan caj GST. Jadi jika kita bijak dan tidak menaikkan harga terlalu tinggi, pelanggan akan datang pada kita kerana kita tidak kenakan GST,” katanya.

Xia, yang bercadang untuk serap kos tambahan berkata dia akan bertahan dengan untung rendah bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan.

“Saya dapat jangkakan untung kurang jadi saya perlu kerja lebih keras,” kata Xia, yang setakat ini pun sudah bekerja 7 hari seminggu di pasar pagi dan malam yang berbeza.

Keong bercadang untuk menaikkan harga selaras dengan GST walaupun berisiko mengalami kekurangan jualan.

“Tetapi jika pendapatan saya jadi bawah RM3,000 sebulan, saya tidak dapat berniaga lagi. Saya perlu mencari kerja lain,” katanya yang mempunyai 3 anak bersekolah.

Sansiwar Mogek, 68, yang menjual tudung berkata pelanggan tetapnya mula bertanya sama ada harga barangannya akan naik atau tidak selepas pelaksanaan GST.

"Saya beritahu pelanggan pada masa ini saya memang tidak akan menaikkan harga kerana tidak berdaftar dan pembekal memberitahu saya yang mereka tidak akan mengenakan GST.

"Saya bayar pada pembekal secara tunai. Tetapi sekiranya dikenakan GST, saya terpaksa menaikkan harga walaupun pelanggan sudah memberitahu saya mereka tidak akan membeli sekiranya harga naik," kata Sansiwar yang membuka kedainya sejak 43 tahun lalu.

Kesan kepada semua orang


Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Kuala Lumpur Datuk Bahrin Abdul Razak menolak pandangan penjaja seperti ahlinya akan terjejas teruk oleh GST.

Katanya, ini kerana perbelanjaan perniagaan permulaan mereka rendah kerana tidak perlu menyewa kedai tetap atau bayar utiliti.

“Jadi kita boleh juga barangan di bawah harga pasaran berbanding kedai besar. Kita sebenarnya pengimbang harga,” kata Bahrin, yang juga berada dalam satu majlis di Kementerian Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna.

Bahrin juga menolak kebimbangan penjaja kecil akan menerima kesan teruk oleh GST yang dikenakan pembekal tetapi tidak boleh mengenakan kos tambahan kepada pelanggan sebagai cukai.

“Kita tidak akan kenakan harga kos tambahan itu kepada pelanggan. Pengimport dan pemborong yang akan dikenakan GST.

“Kebanyakan peniaga kecil tidak merungut mengenai GST. Mereka yang mengadu itu adalah minoriti dan media,” kata Bahrin ketika diminta mengulas mengenai kenyataan penjaja yang ditemu bual The Malaysian Insider.

Bekas Setiausaha Agung Kementerian Kewangan Tan Sri Ramon Navaratnam bagaimanapun percaya kesan terhadap penjaja kecil dan harga barangan akhir pada pelanggan, perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Kita bukan negara pertama memperkenalkan GST. Kita perlu melihat pengalaman negara lain untuk mengendali masalah seperti ini. GST perlu dilaksanakan secara adil, lancar dan bertimbang rasa,” katanya.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong percaya tambahan beban kecil yang terpaksa ditanggung peniaga kecil akan turut memberi kesan kepada perniagaan atasan dalam rantaian yang bergantung pada peniaga berkenaan sebagai pelanggan.

Jika peniaga kecil dan penjaja tidak dapat menampung kos tambahan daripada GST dan tutup kedai, itu bermakna pemborong dan pengimport juga kehilangan pelanggan.

Beliau menganggarkan penjaja dan peniaga kecil membentuk satu pertiga daripada pelanggan dasar untuk pemborong.

“Jika 30% daripada rantaian bekalan terhapus, akan berlaku banyak penyesuaian perlu dibuat dalam sektor itu. Ini juga berlaku dalam situasi ekonomi di mana orang ramai kurang membeli.

“Kerajaan tidak bertanggungjawab jika tidak mempertimbangkan keadaan ini,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .