Tiga kapal yang terlibat dalam operasi pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 mendakwa berjaya mengesan kedudukan kotak hitam, menurut Berita Harian Online, memetik laporan tv swasta republik itu, Metrotvnews.
Timbalan Ketua Bidang Teknologi dan Pengembangan, Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT), Ridwan Djamaluddin dilaporkan mengakui 3 kapal itu berjaya mengesan 'pinger' yang sama, kira-kira jam 8.15 waktu Indonesia Tengah.
"Yakin.. kerana tiga kapal melaporkan suara yang sama dengan tiga alat yang berada di tiga lokasi.
"Mudah-mudahan ia tidak salah kerana tiga alat itu ketika melakukan pengesanan, pingnya menjawab daripada kotak hitam pesawat," Ridwan dipetik sebagai berkata di Jakarta.
Beliau berkata, pinger daripada kotak hitam yang kini menjadi sebahagian fokus pencarian berada di kedalaman sekitar 30 meter di dasar Laut Jawa.
Bagi proses seterusnya, Ridwan berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT).
"Untuk mengangkat (kotak hitam), hanya KNKT yang mempunyai kuasa mengangkatnya," katanya.
Sementara itu, AFP melaporkan, Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) SB Supriyadi berkata, isyarat ping yang kuat kedengaran dari kotak hitam perakam data pesawat yang terhempas ke dalam Laut Jawa bulan lepas.
Katanya, penyelam tentera laut sedang cuba menjejak bunyi itu, dengan harapan dapat menemui kotak hitam yang boleh membekalkan maklumat penting berhubung komunikasi terakhir dibuat antara juruterbang dengan pusat kawalan trafik udara.
"Ping itu dikesan kira-kira 1km timur lokasi di mana ekor pesawat itu ditemui," Supriyadi memberitahu AFP di ibu pejabat operasi carian itu di Pangkalan Bun.
Pada Sabtu, ekor pesawat jenis Airbus 320-200 itu berjaya diangkat ke permukaan menggunakan belon terapung, tetapi tanpa kotak hitam yang dipercayai tertanggal dari posisi asalnya.
Pesawat itu, yang membawa 162 penumpang dan anak kapal, terhempas selepas mengalami cuaca ribut pada 28 Disember dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura, mengorbankan semua di atas kapal.
sumber
No comments: