» » Peguam kata JAKIM promosikan ekstremisme menerusi khutbah Jumaat setiap minggu


Dakwaan dibuat peguam Eric Paulsen, mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme menerusi penyampaian khutbah setiap kali ketika solat Jumaat, melampau dan tidak masuk akal, kata Mingguan Malaysia hari ini.

Awang Selamat, nama pojokan yang mewakili pengarang akhbar itu berkata, Paulsen memang perlu disiasat polis dan memohon maaf secara terbuka kerana membuat "kenyataan fitnah dan berbaur hasutan" menerusi Twitter.

Katanya, khutbah Jumaat yang disediakan Jakim selama ini sentiasa menyeru umat Islam kepada kesederhanaan, perpaduan dan saling menghormati sesama agama dan kaum.

“Adalah tidak masuk akal bagi mana-mana individu dan pihak mendakwa atau mengaitkan Jakim dengan penyebaran fahaman ekstrem,” katanya melalui akhbar milik Umno itu edisi Ahad.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Paulsen akan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 kerana mendakwa Jakim mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

“Kenyataan sebegini memang wajar kita siasat mengikut Akta Hasutan,” katanya melalui laman sosial, Twitter.

Eric dipercayai membuat catatan di akaun Twitternya mengatakan:“Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.

Sebagai respon, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu berkata kepada Utusan Malaysia, satu sidang media akan diadakannya sama ada pada hari ini atau esok berhubung perkara itu.

Awang Selamat berkata, ini kali pertama dalam sejarah dakwaan seperti itu dibuat terhadap Jakim.

Katanya, malah beberapa sarjana Islam tempatan pernah berpendapat khutbah Jumaat yang disediakan Jakim agak 'lembut' dan adakalanya tidak menggambarkan tekanan yang dihadapi umat Islam.

“Maka tiada sebab untuk Paulsen menggesa kerajaan menangani Jakim berhubung dakwaannya itu.

"Jakim bukan organisasi militan seperti Boko Haram di Nigeria, yang mengganas lagi semalam, sebaliknya yang sepatutnya ditangani segera ialah diri beliau.

“Kalau di Singapura, tidak perlu tunggu esok hari, pihak berkuasa sepantas Unit Tindakan Khas bergegas mencari individu seperti itu sebaik sahaja kenyataan hasutan terdedah kepada umum,” katanya.

Awang berkata kenyataan Paulsen itu ekstrem dan datang daripada pemikiran ekstremisme.

Ia merupakan satu lagi penghinaan terhadap agama Islam yang tidak boleh diterima sama sekali, katanya.

“Bagi mengelakkan sebarang kemudaratan, sememangnya beliau perlu disiasat polis di samping tampil memohon maaf secara terbuka. Awang berharap Paulsen tidak terlepas dan mesti mengambil tanggungjawab terhadap kenyataannya itu.

“Beliau seharusnya faham tentang sensiviti agama dan mengambil pengajaran dalam banyak insiden termasuk yang terbaru di Paris.

“Awang berpegang kepada keyakinan semua bentuk keganasan perlu dikutuk dan ekstremisme pula ditolak,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu kenyataan semalam berkata, khutbah Jumaat tidak pernah sama sekali menggalakkan ekstremisme atau keganasan dalam sebarang bentuk seperti yang didakwa.

Sebaliknya, katanya, khutbah merupakan rukun dalam solat Jumaat yang disampaikan secara lisan dan berunsur pendidikan untuk memberi nasihat keagamaan, menaikkan semangat dan menimbulkan keinsafan.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .