Teori konspirasi, yang berpusar-pusar seperti perairan di selatan Lautan Hindi yang begitu berbahaya, muncul daripada pelbagai platform seperti media sosial berhubung sebab-sebab kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.
Namun, teori yang tidak berasas itu tidak akan menjejaskan usaha Malaysia dan negara-negara lain untuk mencari pesawat Boeing 777 itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata Malaysia tidak pernah mengaku kalah dalam usaha mencari pesawat itu yang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas.
"Sebenarnya, usaha pencarian itu dipergiatkan dengan lebih banyak aset termasuk kapal pencarian digunakan oleh Malaysia dan Australia di Lautan Hindi.
"Kami menjangkau sehingga kedalaman 6,000m di satu daripada lautan yang paling kompleks di dunia.
"Ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan kedalaman yang luar biasa dan ia akan mengambil masa. Namun Malaysia tidak akan berputus asa di sebalik teori konspirasi.
"Mereka yang dahagakan maklumat mengenai MH370 perlu mendapatkannya daripada sumber yang boleh dipercayai dan daripada akaun media sosial yang yang autentik," katanya di Alor Gajah, hari ini.
Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui, walaupun selepas usaha pencarian menyeluruh di selatan Lautan Hindi di selatan di mana ia dipercayai berakhir selepas tersasar daripada haluannya.
No comments: