» » 'Seru penjawat awam Selangor jadi ‘jentera’ tingkatkan imej Putrajaya'


Penjawat awam di jabatan dan agensi persekutuan di negeri Selangor diseru supaya membantu menaikkan imej Putrajaya dengan menyampaikan maklumat yang berkesan kepada rakyat, kata Datuk Seri Noh Omar.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Selangor itu dalam perjumpaan kali pertama dengan kakitangan jabatan dan agensi persekutuan di Selangor berkata, penjelasan itu penting agar rakyat tidak mudah dimanipulasi maklumat palsu yang cuba dipesongkan oleh pihak tertentu.

Pada masa sama, dasar dan matlamat kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dapat disampaikan secara terus kepada rakyat.

"Saya berharap dalam tahun 2015 ini, jabatan dan agensi persekutuan di Selangor dapat bersama-sama membantu meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap kerajaan persekutuan.

"Kita perlu sedar pertempuran persepsi ini tidak hanya melibatkan parti politik sahaja, tetapi sering juga jabatan dan agensi kerajaan diheret sama.

"Sudah tiba masanya kita bertindak memperjelaskan kepada rakyat sekiranya terdapat maklumat yang terpesong yang cuba disebarkan kepada rakyat.

"Ini bagi menjaga nama baik jabatan dan agensi tuan-tuan dan puan-puan sekalian," katanya ketika majlis penyampaian amanat Tahun 2015 bersama kepimpinan jabatan dan agensi persekutuan di negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Noh berkata, pelantikannya sebagai pengerusi MTPNg Selangor pada 15 Ogos 2013, "bertaraf menteri" dan bertanggungjawab bagi memastikan dasar, program dan projek oleh Putrajaya di Selangor dilaksanakan sebaik mungkin.

Pelantikan jawatan oleh perdana menteri itu juga diberi bertanggungjawab memastikan dasar, program dan projek pusat memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat Selangor.

"Sebagai orang politik, tidak dapat tidak, segala dasar, program dan projek yang dilaksanakan selain demi kepentingan rakyat, pastinya diharapkan dapat juga memberikan 'political divident' kepada parti yang kami wakili," katanya.

Pengerusi BN Selangor itu juga mencadangkan supaya setiap bantuan atau projek pusat di Selangor diadakan majlis pelancaran atau pendekatan lain yang bersesuaian.

"Bila menyebut tentang majlis, 'mental block' yang ia perlu dijalankan secara besar-besaran dan menelan belanja yang besar perlu kita kikis.

“Apa yang penting adalah liputan media dan rakyat mengetahui projek berkenaan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan demi kesejahteraan mereka," katanya.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), 825 projek disediakan Putrajaya dengan siling peruntukan berjumlah RM10.52 bilion bagi tempoh lima tahun.

Jelasnya, untuk tahun 2014-2015 sahaja, sejumlah 270 projek iaitu 221 projek baru bernilai RM3.11 bilion dan 49 projek sambungan bernilai RM1.72 bilion sedang dilaksanakan.

"Tetapi, peruntukan berbilion ini tidak akan dinikmati oleh rakyat jika terhalang oleh birokrasi sesetengah pihak dalam memberikan kelulusan contohnya seperti 'development order', Perakuan Kelayakan Menduduki dan beberapa kelulusan yang lain," katanya.

Selain itu, katanya sejumlah RM853.4 juta diperuntukkan Putrajaya sebagai pemberian kepada kerajaan Selangor; RM595.6 juta daripadanya bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri (Marris), Pihak Berkuasa Tempatan (RM46.9 juta), muzium (RM4.3juta) dan Perpustakaan Negeri (RM8.4 juta).

Turut diberikan peruntukan berjumlah RM38.85 juta bagi membiayai elaun imam, elaun guru takmir dan elaun Kafa, tidak termasuk perbelanjaan mengurus yang dibiayai Putrajaya bagi aktiviti rutin jabatan dan agensi persekutuan di negeri Selangor.

"Perbelanjaan ini menggambarkan kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan negeri Selangor sebagaimana yang pernah dibangkitkan oleh sesetengah pihak," katanya.

Noh turut melantik 12 Adun BN sebagai Pengerusi Penyelaras Kementerian, berfungsi memantau, menilai, dan mencadangkan penambahbaikkan terhadap dasar, program dan projek Putrajaya di Selangor.

"Saya amatlah berharap dan memohon kerjasama supaya dapat membantu kita menyampaikan maklumat tersebut secara berkesan kepada rakyat, khususnya berkaitan usaha kerajaan persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

"Selain itu, kita sendiri juga perlu memahami dasar yang digarapkan dan seterusnya membantu menjelaskannya kepada rakyat," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .