» » 'Beri kuasa tarik lesen premis perniagaan kepada polis dan Imigresen'


Satu akta perlu digubal supaya kuasa penarikan lesen premis perniagaan dan pendakwaan diberikan kepada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen, kata Datuk Seri Noh Omar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, ini berikutan pertambahan rumah maksiat dan pelacuran di Selangor dan kuasa yang ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mampu menangani masalah itu.

"Saya tahu, saya pernah jadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Polis boleh buat serbuan sahaja tetapi kuasa menutup premis adalah PBT.

"Saya pernah cadang supaya satu akta digubal supaya dijadikan akta bersama antara kuasa polis dan PBT, kalau tidak takkan selesai masalah," katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat minggu lalu dilaporkan berkata, terdapat 2,067 premis dijadikan sebagai rumah pelacuran di seluruh Selangor dikenal pasti dengan menawarkan khidmat seks pelacur warga asing.

Premis terbabit termasuk spa, rumah urut, hotel, pusat karaoke, bar serta salun, antaranya melibatkan kawasan di Serdang, Puchong, Seri Kembangan, dan Petaling Jaya.

Katanya, setakat ini 2,969 serbuan Ops Noda Khas menangkap 1,781 individu melibatkan 1,363 wanita dan 124 lelaki warganegara asing serta 28 wanita dan 266 lelaki tempatan.

Daripada jumlah itu, 717 wanita warga Vietnam ditahan polis, 299 Thailand, 162 China dan beberapa warga Indonesia, Laos, Bangladesh dan Kemboja.

Noh berkata, disebabkan kuasa pihak berkuasa persekutuan yang terhad, premis melibatkan pelacuran dan perjudian terus hidup walaupun serbuan dilakukan beberapa kali.

"Ini yang kita dapati kadang-kadang polis buat serbuan, dua tiga hari operasi semula kerana dia dua kuasa yang berbeza.

"Kalau perlu, buat akta baharu supaya polis juga diberikan kuasa bukan sahaja tutup premis tetapi juga kuasa mendakwa," katanya.

Katanya, kuasa itu juga perlu diberikan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan operasi serbuan pendatang asing tanpa izin.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .