Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail perlu meletakkan jawatannya kerana bersikap cuai dengan membiarkan Korporal Sirul Azhar Umar melepaskan diri daripada dikenakan hukuman kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, kata pemimpin PKR R Sivarasa.
Ahli Parlimen Subang itu berkata, kecuaian Peguam Negara yang tidak memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Sirul menyebabkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu dibenarkan meninggalkan negara ini dan melarikan diri daripada pendengaran di Mahkamah Persekutuan.
Katanya, tertuduh perlu sekurang-kurangnya dikenakan syarat ikat jamin seperti menyerahkan pasport mereka dan melaporkan dengan kerap kepada pihak polis tetapi permohonan kepada mahkamah untuk mendapat perintah tersebut tidak pernah dibuat oleh Peguam Negara.
"Dalam mana-mana negara lain di mana budaya akauntabiliti diamalkan, Peguam Negara akan meletakkan jawatannya dengan serta-merta," kata beliau yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat itu berkata, selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Sirul, beliau pernah mengeluarkan kenyataan akhbar mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara tidak membuat permohonan waran tangkap di mengikut seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Waran itu menurutnya untuk mengekalkan tertuduh di dalam tahanan atau melepaskannya dengan jaminan sementara menunggu pendengaran rayuan Peguam Negara terhadap keputusan tersebut.
Katanya, permohonan sedemikian biasanya dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya dalam keadaan apa-apa pembebasan untuk memastikan kehadiran tertuduh apabila rayuan Peguam Negara didengari.
"Hakikat itu tidak dilakukan dalam kes profil ini sangat tinggi menimbulkan persoalan tentang kelakuan perkara itu," katanya.
Beliau berkata, selepas rayuan Peguam Negara difailkan di Mahkamah Persekutuan, terdapat satu lagi peluang untuk membuat permohonan yang sama menggunakan Seksyen 66 di akta yang sama untuk perintah jenis yang sama, namun sekali lagi ini tidak dilakukan dan bertentangan dengan amalan biasa.
"Adakah ini disengajakan? Ketinggalan yang ketara tersebut adalah sukar untuk diterangkan sebagai akibat daripada kecuaian," katanya.
Katanya, proses pentadbiran keadilan dihina melalui cara Peguam Negara mengendalikan perkara ini.
Beliau menggesa siasatan penuh dilakukan menteri kabinet terhadap Peguam Negara yang membiarkan perkara itu berlaku.
Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Azilah dan Sirul selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman mati ke atas 2 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu selepas didapati bersalah membunuh Altantuya 9 tahun lalu.
Sirul, 43, yang merupakan tertuduh kedua kes itu tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan mendengar hukuman, dipercayai berada di Australia dan dikatakan tidak cukup wang untuk pulang.
Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan kerajaannya tidak akan memenuhi permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul kerana Australia merupakan antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.
Semakan laman web polis antarabangsa (Interpol) mendapati notis merah dikeluarkan terhadap Sirul, menandakan pihak berkuasa sedang cuba mengesan lokasi dan menahan orang yang dikehendaki untuk diekstradisi atau tindakan undang-undang serupa.
Nama Sirul diletakkan dalam laman web Interpol, bersama 37 individu lain yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai kesalahan jenayah.
No comments: