PAS hari ini menawarkan bantuan untuk membantu tertuduh kedua kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, Koperal Sirul Azhar Umar untuk mendapatkan keadilan.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tawaran bantuan tersebut bukan bermaksud menafikan keputusan mahkamah namun berasa Sirul mempunyai hak untuk diberikan peluang bagi menjelaskan kejadian sebenar bagi mempertahankan dirinya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, motif pembunuhan Altantuya juga tidak didedahkan mahkamah sehingga menimbulkan persoalan termasuk kenyataan ibu Sirul yang mengatakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu hanya mengikut arahan.
"Saya tidak membela Sirul, cuma berasa terpanggil mendengar kenyataan ibu yang sayang kepada anak dan merasakan anaknya tidak diberikan keadilan.
"Menitis air mata saya membaca kenyataan itu. ,Justeru, saya mohon sekiranya Sirul membaca laporan ini silalah menghubungi saya, melalui apa cara sekalipun tak kisahlah telefon saya di nombor 019 442 2685, e-mel, Facebook atau WhatsApp," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur hari ini.
Minggu lalu Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan tertuduh pertama Ketua Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan dua anggota UTK itu selepas membenarkan rayuan mereka.
Bagaimanapun ketika keputusan perbicaraan tersebut, Sirul tidak hadir di mahkamah kerana dilaporkan berada di Australia dan tidak mempunyai wang untuk pulang.
Pada masa sama, Mahfuz berkata pihaknya kini sedang berusaha mengaturkan pertemuan bersama keluarga Sirul bagi membincangkan tawaran tersebut.
"Sudah tentu saya akan berjumpa dengan keluarga Sirul di Perak. Ibu Sirul pastinya mengharapkan Sirul pulang dan saya juga berharap Sirul pulang dengan penuh keberanian.
"Sekiranya Sirul setuju beritahu saya di mana perlu saya berjumpa dengannya, dan akan membawa peguam saya sekali bagi membincangkan tindakan lanjut," katanya.
Antara lain Mahfuz juga menafikan tawaran terhadap Sirul itu dilakukan bertujuan mengambil kesempatan mengejar publisiti.
"Tidak saya anggap ia kejar publisiti kerana motif pembunuhan Altantuya menjadi tanda tanya, misteri ini perlu dirungkaikan," katanya.
Mahfuz juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan polis setelah mendapat pengakuan sebenar bekas anggota UTK itu.
"Saya sanggup bekerjasama dengan polis, kita akan bawa bahan bukti tersebut, dan senario paling teruk pun Sirul menghantar rakaman pendedahan kepada kita," katanya sambil mengakui tidak takut tindakan itu akan merisikokan keselamatannya.
"Saya tidak takut, kenapa perlu takut.. saya hanya takut pada Allah?, kalau ikutkan mati semua orang akan mati," katanya.
No comments: