Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu membuktikan beliau bukan penakut dengan segera mengarahkan siasatan dilaksanakan terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataannya membabitkan bantuan diberikan raja judi Paul Phua Wei Seng kepada Malaysia dalam soal keselamatan negara dan penglibatan Phua dalam kumpulan konsi gelap 14k, kata Gobind Singh Deo.
Ahli Parlimen Puchong daripada DAP itu berkata, Khalid perlu menyegerakan siasatan memandangkan isu berkenaan membabitkan kredibiliti pegawai-pegawai di bawahnya.
"Sama ada kesalahan dilakukan atau tidak, oleh sesiapa itu diputuskan kemudian. Namun, saya berpendapat demi kepentingan umum, siasatan perlu dilakukan segera .
"Terpulang kepada Khalid untuk membuktikan beliau tidak takut dan melakukan tindakan sepatutnya untuk melindungi anak-anak buahnya berkenaan perkara itu," kata Gobind, dalam satu kenyataan hari ini.
Gobind berkata, dalam isu membabitkan ahli Parlimen Bagan Datoh itu lebih teruk kerana beliau tidak berbincang dengan peguam negara dan ketua polis negara sebelum memberikan surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung status Phua.
"Dalam kes ini, menteri menulis surat mendedahkan identiti Phua dan peranannya dalam membantu Malaysia dalam projek keselamatan, yang mungkin menyalahi Akta Rahsia Rasmi 1972.
"Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor juga dilaporkan secara terbuka menyuarakan kebimbangan terhadap Zahid kerana menulis surat berkenaan kepada FBI," kata Gobind, dan menambah,"Khalid tidak lagi boleh berdiam diri."
Zahid sebelum ini menjelaskan beliau mempunyai kuasa menulis surat kepada FBI berhubung isu raja judi berkenaan.
Naib presiden Umno itu berkata, menteri sebelumnya juga pernah mengeluarkan surat penjelasan seumpama itu.
Beliau berkata, bantuan Phua dalam isu keselamatan negara tidak boleh didedahkan kerana ia dilindungi di bawah Akta Rahsia Rahmi 1972.
Katanya, suratnya kepada FBI sebelum ini adalah merujuk kepada kenyataan yang diberikan oleh ketua polis negara.
"Pertikaian kandungan surat saya mengenai Phua membantu kerajaan dalam urusan keselamatan, ia tidak dapat didedahkan kerana melibatkan isu keselamatan berstatus rahsia besar dan tidak boleh sewenang-wenangnya diuar-uarkan kepada umum atas faktor kepentingan dan keselamatan negara.
"Tidak wujud kumpulan kongsi gelap 14K Triad di Malaysia. Phua bukanlah ahli kongsi gelap 14K Triad di Malaysia," katanya.
Zahid berkata, surat penjelasan status Phua kepada FBI itu bukanlah surat sokongan untuk tidak mendakwa Phua sebaliknya sebagai satu penjelasan status raja judi itu.
Gobind berkata, Khalid sebelum ini seringkali mengarahkan siasatan segera terhadap beberapa isu perlu adil dalam isu ini dan mengambil langkah sama.
"Beliau dilihat cepat mengarahkan siasatan, tindakan sama perlu dilakukan dalam isu ini,' kata Gobind.
No comments: