Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata faktor kejatuhan ringgit harus diambil berat dalam penstrukturan ekonomi kerana nilai ringgit dijangka mengalami kejatuhan sehingga RM3.72 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Nizam Mahshar berkata, situasi itu akan memberi kesan terhadap dagangan antarabangsa terutamanya nilai pertukaran yang menggunakan mata wang Malaysia, sekali gus melonjakkan hutang negara akibat kejatuhan ringgit.
Beliau berkata, pada masa ini amat penting bayaran levi yang dikenakan kepada pekerja asing dikaji semula dan pengambilan pekerja asing diperketat.
"Kadar levi ditingkatkan agar kepentingan pekerja tempatan terjaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam berkata, cadangan itu selaras dengan kajian Khazanah Research Institute yang mendapati 2 pekerja tempatan akan kehilangan peluang pekerjaan sekiranya 10 pekerja asing diambil bekerja.
Selain itu, katanya, polisi dalam menangani ketidaksamarataan tidak dinyatakan dalam penstrukturan bajet dan tiada tanda atau langkah jelas untuk mengurangkan ketidaksamaan negara yang berlaku sekarang.
"Bagi mengelakkan pembaziran, inisiatif seperti pasar tani khas dan inisiatif lain oleh Kementerian Pertanian harus diperbanyakkan dan dilakukan kementerian lain berbanding menggalakkan penjualan mega.
“Dana RM800 juta yang diperuntukkan bagi membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jambatan dan jalan raya dan tambahan RM100 juta yang disediakan untuk Tekun dan RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) amat di alu-alukan dan perlu disegerakan,” katanya.
Beliau berkata, langkah penyatuan fiskal dan pembaharuan yang diperkenalkan kerajaan dilihat bagus daripada segi peningkatan dividen GLC dan GLIC dan badan kerajaan lain bagi meningkatkan pendapatan negara.
"Namun, pemberian geran kepada badan berkanun serta GLC harus dikaji dan diteliti secara mendalam mengambil kira program kritikal untuk rakyat," katanya.
Selain itu, MTEM juga mencadangkan langkah dan dasar bersesuaian yang perlu diteliti dalam menghadapi fenomena luar jangka bencana alam seperti banjir.
"Perumahan sementara dan kekal perlu diambil kira daripada segi faktor reka bentuk, geografi dan struktur rumah yang bakal dibina supaya dapat menyesuaikan diri dengan situasi bencana.
"Langkah pencegahan seperti pemuliharaan alam, pengekalan kawasan tadahan dan dasar pembalakan dan dasar ladang hutan harus diteliti semula untuk mengelakkan kerugian jangka panjang yang berterusan," katanya.
Katanya, untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, pengekalan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan sebanyak RM48.5 bilion akan diteruskan dan turut melibatkan projek berimpak tinggi seperti MRT jajaran kedua, High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura dan Rapid Pengerang.
"Kerajaan juga harus memastikan setiap modal yang ada di dalam negara harus kekal dalam negara ketika kita mengalami situasi ekonomi yang sukar.
"Oleh itu, kawalan modal dilihat sebagai instrumen yang masih relevan supaya kumpulan berpendapatan tinggi, syarikat berskala besar mahupun pelabur asing tidak mengeluarkan modal mereka yang berada di dalam negara," katanya.
Beliau berkata ia jelas membuktikan kerajaan perlu mempertimbangkan semula hasrat menyertai perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Katanya, langkah keistimewaan terpilih kepada syarikat tempatan, perolehan kerajaan, promosi barangan tempatan bertentangan dengan syarat yang terkandung dalam perjanjian TPPA.
No comments: