» » 'Nafi bayar blogger untuk membela mereka'


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan dakwaan Umno memberi dana kepada blogger untuk jadi alat penyebar maklumat parti atau menyerang pembangkang.

“Kami tidak pernah bayar sesiapa,” katanya ketika diminta mengulas berhubung desakan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar supaya Umno mendedahkan berapa banyak yang dibelanjakan parti itu membayar gaji blogger untuk menyerang pembangkang.

Kenyataan pengerusi perhubungan Umno Bahagian Wilayah Persekutuan itu hari ini bertentangan dengan teguran Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang menggelar blogger seumpama itu sebagai 'bangang' ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2014, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Najib juga mengingatkan blogger Umno siapa membayar gaji mereka, dan berkata mereka sepatutnya menyerang pembangkang, bukan Umno.

Tengku Adnan bagaimanapun mempertahankan ucapan Najib dengan berkata blogger yang bersimpati dengan Umno tidak sepatutnya menyerang parti itu.

“Blogger yang pro Umno tidak sepatutnya bertelingkah sesama mereka, musuh kita adalah pihak sebelah sana (pembangkang), bukan antara kita.

“Itu adalah nasihat yang betul, (tetapi ia) tidak bermakna kami membayar mereka,” katanya.

PAS semalam mendesak Najib menjelaskan perkara itu dan mendedahkan identiti blogger yang digelarnya 'bangang' dalam ucapan penggulungannya itu.

Ahli Majlis Tertinggi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini dipetik berkata kepada portal berita beliau tidak pasti jika blogger dibayar untuk menulis sesuatu yang menyokong Umno.

Sama seperti Tengku Adnan, Shabery turut mempertahankan ucapan Najib, berkata ia disalahertikan dan menjelaskan Najib bermaksud ada blogger yang bersimpati dengan kedua-dua pihak pembangkang dan Umno.

Blogger terkemuka dan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, ketika mengulas ucapan Najib, memberi amaran kenyataan presiden Umno itu akan melemahkan perang atas talian parti.

Beliau menulis di blognya ini adalah kali pertama pemimpin Umno secara terbuka mengisytihar parti itu membayar blogger menulis untuk mereka.

Kadir, mengecualikan perkataan “bangang” berkata penggunaan perkataan itu oleh Najib sangat bodoh, biadap dan tidak mencerminkan sifat serta maruah seorang pemimpin.

Beberapa blogger pro Umno juga mempertahankan kritikan mereka terhadap parti itu, berkata tulisan itu mewakili suara ahli yang tidak gembira dengan keadaan parti itu.

Mereka berkata blog dan media sosial adalah saluran untuk ahli Umno meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .