» » Bangga disaman kerana pertahankan hak rakyat Malaysia


"Saya berasa bangga mendapat saman dari seorang perdana menteri kerana mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan subsidi minyak sekurang-kurangnya 30 sen seliter dalam keadaan pimpinan negara berbelanja sewenang-wenangnya dana rakyat dalam projek-projek yang membebankan rakyat seperti 1MDB," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas menyaman Tony Pua berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menyaman Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli pula berhubung subsidi minyak.

Menurut ahli Parlimen Pandan itu, beliau menerima surat‎ memohon penjelasan daripada firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili Najib hari ini.

"Saya sudah menjangkakan bahawa Datuk Seri Najib Razak akan mengambil tindakan saman terhadap saya selepas rakan saya YB Tony Pua menerima surat yang sama minggu lepas.

"Saya percaya ia ada kena mengena dengan kritikan berterusan dari kami berdua mengenai 1MDB," katanya.

Pada 21 November lalu Najib menghantar surat tuntutan kepada Pua ekoran kenyataan yang dibuat terhadapnya pada 3 November mengenai 1MDB.

Dalam surat yang ditandatangani peguamnya Datuk Mohd Hafarizan Harun, Pua diminta menyiarkan penarikan balik kenyataan itu dan memohon maaf dalam masa 14 hari dalam dua akhbar nasional atau menghadapi tindakan saman ekoran ucapannya yang dirakamkan pada 3 November bertajuk "Tony Pua: Najib is creating the biggest scandal ever in the history of Malaysia".

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga diminta mengeluarkan video itu dari Internet, hentikan sebarang kenyataan fitnah dan membayar sejumlah wang pampasan kepada Najib.

Menurut Rafizi, beliau sudah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan pimpinan Umno berhubung isu subsidi minyak.

"Sehingga sekarang tidak ada seorang pun pimpinan Umno – dari ketua Pemudanya hingga ketua penerangan yang berani tampil berdebat mengenai subsidi minyak ini," kata Rafizi merujuk kepada Khairy Jamaluddin dan Datuk Ahmad Maslan.

"Maka, surat ke arah tindakan saman dari Datuk Seri Najib Razak ini kena tepat pada masanya. Dalam keadaan tiada pimpinan Umno yang berani berdebat secara terbuka mengenai subsidi minyak, sewajarnya Najib tampil menjawab hujah-hujah saya secara terbuka."

Rafizi sekali mengulangi cabarannya agar Najib berdebat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim khusus mengenai isu subsidi minyak yang dikatakan menjadi isu besar di kalangan rakyat.

"Sementara itu, saya akan menjawab surat Najib dan bersedia memberi keterangan di mahkamah kelak.

"Saya juga percaya Najib akan menggunakan mahkamah dengan menjadi saksi dan memberi keterangan mengenai 1MDB, wang pencen dan kes-kes lain yang berkaitan dengan keputusan beliau memotong subsidi," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .