Khairy ketika ditanya sama ada isu 1MDB itu perlu dibahaskan semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 minggu hadapan, hanya ketawa sambil memegang kolar leher bajunya, dan sempat menjeling ke arah Dr Mahathir yang hanya tersenyum melihatnya.
"Soalan LTdL seterusnya," katanya kepada pemberita semasa Majlis Pelancaran Logo dan sidang media Le Tour de Langkawi (LTdL) bersama Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir dan Khairy, dua figura yang dilihat sering berbeza pendapat apabila sesuatu isu timbul, tambahan ketua Pemuda Umno itu merupakan menantu mantan perdana menteri selepas Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ini pertama kali dua pemimpin berbeza generasi itu berada dalam majlis sidang media yang sama. Mereka kelihatan mesra dan Khairy dilihat tunduk hormat ketika bersalaman dengan Dr Mahathir.
Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc minggu lalu membidas 1MDB yang didakwanya cuba berlagak seperti dana antarabangsa atau Sovereign Wealth Fund, sedangkan wang pelaburan 1MDB itu ialah hutang negara dan bukannya lebihan kewangan negara.
Katanya, Malaysia perlu segera menyelesaikan hutang itu dan mungkin akan muflis jika tidak melangsaikannya.
"Duit untuk 1MDB bukan daripada lebihan kewangan negara. Ia hutang. Berbilion ringgit dihutang yang menambah hutang negara dengan amat tinggi.
"Hutang negara mesti dibayar. Jika tidak, kita akan muflis seperti Argentina. Sebuah negara yang mengalami defisit tiap tahun tidak mungkin bayar hutang sebesar ini," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir ketika diminta menyatakan nama anggota Kabinet yang menghantar anak mereka ke sekolah swasta, juga enggan memanjangkan perkara itu lagi.
"Saya dah bagi saya punya pandangan tentang isu ini. Saya ingat tak payah terangkan lagi," katanya yang enggan mengulas isu selain LTdL.
Dr Mahathir kelmarin mendakwa menteri sendiri melanggar polisi pendidikan negara dengan menghantar anak ke sekolah swasta dan antarabangsa.
"Murid di Malaysia tidak sepatutnya ke sekolah swasta. Dalam kebanyakan kes, yuran dikenakan selalunya terlalu mahal.
"Kemudian menteri, bertentangan polisi negara, mula hantar anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa yang banyak menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran.
"Menteri juga hantar anak mereka ke sekolah awam di United Kingdom. Ia kemudian diikuti anak orang kaya," kata Dr Mahathir menulis dalam blognya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan golongan miskin terpaksa mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan, sementara itu golongan kaya mahir menguasai bahasa Inggeris berbanding golongan miskin.
Namun, dakwaan itu ditepis Khairy semalam yang mengatakan ramai rakan sejawatnya menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah katanya, beliau sendiri turut menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan dan bukan sekolah persendirian atau sekolah antarabangsa.
"Saya hantar anak lelaki saya ke sekolah kebangsaan. Saya rasa kebanyakan menteri yang saya kenal, rakan-rakan di Kabinet, menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.
"Saya tak tahu mana persepsi ini datang," katanya.
sumber
No comments: