» » 'Rakyat M'sia mungkin kena bayar bil elektrik lebih tinggi untuk selamatkan 1MDB'


Rakyat Malaysia mungkin akhirnya terpaksa membayar lebih untuk bekalan elektrik dalam tempoh beberapa tahun akan datang ketika Putrajaya membantu syarikat yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), melangsaikan pinjamannya berjumlah RM42 bilion, kata ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Bercakap pada satu forum malam tadi, Ahli Parlimen DAP Tony Pua menjelaskan, 1MDB diberikan kontrak membina dan mengendalikan loji kuasa, dan menjual tenaga elektrik, untuk membayar hutangnya.

Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli pula berkata, jika 1MDB tidak boleh membayar hutang mereka dan jika ia jatuh, ia boleh menarik ekonomi turun bersamanya kerana hutangnya berjumlah hampir RM20 bilion dijamin Putrajaya

Ini bermakna Putrajaya perlu campur tangan dan membayar hutang 1MDB jika syarikat itu memungkirinya, kata wakil rakyat Pandan itu yang turut hadir di forum yang diadakan di Petaling Jaya itu.

Pada waktu ini, Pua berkata 1MDB menghadapi masalah membuat keuntungan dan melangsaikan hutangnya yang berjumlah RM42 bilion itu, yang mana hampir separuh dijamin kerajaan.

"Risiko kepada ekonomi besar kerana ia akan mempunyai kesan domino jika 1MDB mungkir," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara di hadapan kira-kira 500 hadirin.

"Sebab itu kerajaan dengan cepat cuba mencari wang membantu 1MDB membayar hutangnya."

Pua berkata salah satu caranya ialah melalui penganugerahan kontrak tiga pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada 1MDB awal tahun ini.

Sebahagian daripada kontrak itu, dakwanya, mempunyai tarif elektrik yang lebih tinggi daripada biasa yang akhirnya akan diturunkan kepada pengguna.

Menurut laporan terdahulu, 1MDB dianugerahkan projek loji kuasa arang batu bernilai RM11 bilion pada awal tahun ini dalam satu tender terbuka yang menjadi kontroversi.

Ia kemudiannya diberi kontrak loji kuasa solar 50 MW pada bulan Mac dan satu lagi kontrak untuk 2,400 MW loji kuasa gas pada bulan Ogos, kedua-duanya melalui pemberian terus.

"Sebuah akhbar perniagaan melaporkan 1MDB boleh jadi diberi dua lagi kontrak IPP tahun depan.

"Apabila saya bertanya menteri tentang kadar tarif bagi ketiga-tiga kontrak, beliau berkata, ia masih belum ditetapkan. Bagaimana boleh setuju dengan kontrak itu kalau tarifnya sendiri belum ditetapkan?" soal Pua.

"Kadar tarif elektrik yang tinggi akan membolehkan 1MDB mendapatkan wang bagi membantu membayar hutangnya," kata Pua.

"Jadi, pada dasarnya ia 'bailout' awam. Orang ramai harus membantu 1MDB menjana pendapatan dengan membayar kadar elektrik yang lebih tinggi supaya ia dapat membayar hutangnya."

Rafizi kemudian menjelaskan, jika 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaan perlu campur tangan.

"Tetapi apabila itu berlaku, pasaran akan bertanya sama ada kerajaan boleh membayar hutang ini atau tidak.

"Jika pasaran hilang keyakinan terhadap kerajaan bagi membayar hutangnya, ia akan mencetuskan kejatuhan ekonomi. Inilah sebabnya mengapa 1MDB membawa kesan yang teruk kepada negara ini," kata Rafizi.

Masalah kewangan 1MDB mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa, termasuk mengenai ketidakmampuannya membayar ansuran hutangnya dan kurangnya ketelusan tentang operasinya.

Penggubal undang-undang PR juga mendedahkan, syarikat itu juga terlibat dengan syarikat yang mencurigakan dalam urusannya di Arab Saudi, Hong Kong dan Mongolia sejak ia ditubuhkan pada 2009, membuatkannya mengalami kerugian.

Pua juga sebelum ini pernah menunjukkan syarikat itu dua kali terpaksa menjadualkan semula dan menyusun semula pinjaman tertunggak bernilai RM6.7 bilion, melibatkan kos yang tinggi dan denda.

Dalam satu kes baru-baru ini, 1MDB terpaksa menangguhkan pembayaran RM317.3 juta bagi pembelian tanah daripada Tadmax Resources, katanya.

"Ia masih tidak dapat membayar jumlah itu hingga hari ini, namun kerajaan berbangga mengatakan ia mempunyai berbilion ringgit. Ada sesuatu yang tidak kena tentang perkara ini.

"Hakikatnya, kos pinjamannya terlalu tinggi sementara pendapatannya terlalu rendah," kata Pua.

Di hujung hari, kata Rafizi, orang ramai terpaksa memberi tekanan kepada kerajaan agar menghentikan syarikat itu daripada terus membuat urusan yang tidak bermutu dan mengambil lebih banyak pinjaman yang tidak dapat dilangsaikan.

"Walaupun jika PR mengambil alih, kita harus menyusun semula syarikat itu bagi membantunya menjana pendapatan dan membayar hutang-hutangnya."

Sekiranya tidak berbuat demikian, kata Rafizi, ia akan merosakkan ekonomi dan menyusahkan rakyat biasa.

"Jika 1MDB mencetuskan kejatuhan ekonomi, pemiutang kita akan hilang keyakinan terhadap negara ini. Apabila kerajaan perlu merundingkan semula hutangnya, ia terpaksa melaksanakan langkah penjimatan yang ketat.

“Bermakna, tiada lagi wang untuk sekolah baru, tiada subsidi dan pemotongan gaji terjadi di mana-mana. Inilah sebabnya mengapa orang ramai harus sangat bimbang tentang 1MDB."

Forum malam tadi dianjurkan bersama National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW) dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4).

Pengerusi C4, Cynthia Gabriel berkata jemputan juga dihantar kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi ahli panel, tetapi mereka tidak hadir.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .