» » 'Kenapa Putrajaya tidak buat tender terbuka?'


Selangor dan Pulau Pinang yang melaksanakan sistem tender terbuka bagi projek kerajaan selama lebih 5 tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR), mengkritik Putrajaya berhubung alasannya mengatakan "sangat sukar" dan "perlukan masa" hendak melaksanakan sistem yang sama.

Pegawai kerajaan dari kedua-dua negeri, baik yang sedang berkhidmat kini mahu pun yang sudah meninggalkan kerajaan negeri itu, berkata sistem tender terbuka ialah salah satu cara terbaik memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan baik, dan sesuatu yang "lemah" apabila kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) mendakwa ia tidak boleh melakukannya.

Mereka juga membidas cadangan seorang menteri kabinet yang sistem sedemikian mengambil masa yang panjang sebelum boleh dilaksanakan, sambil menambah yang kerajaan negeri PR berjaya memperkenalkan amalan itu hanya dalam masa beberapa bulan ia memegang tampuk kuasa pada Mac 2008.

"Saya tidak boleh terima alasan mengatakan susah untuk dilaksanakan sistem itu atau ambil masa lama hendak melaksanakannya. Itu alasan yang lemah," kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof P Ramasamy.

"Melainkan kalau sebab sebenarnya ialah kamu hendak kroni kamu yang mendapat manfaat (dari perolehan kerajaan)."

Menjelang 2009, katanya Pulau Pinang mula melaksanakan sistem itu secara sepenuhnya di semua peringkat jentera negeri, dari agensi negeri hinggalah majlis tempatan.

Ia melakukannya dengan mewujudkan jawatankuasa tender dalam semua jabatan yang kakitangannya merupakan pegawai kanan yang berkelayakan dalam perkhidmatan awam negeri, ditugaskan menilai bidaan dan memilih yang terbaik.

Keputusan dan saranan jawatankuasa itu mengenai projek besar kemudiannya mesti mendapat kelulusan majlis eksekutif negeri yang dipengerusikan ketua menteri.

Di Pulau Pinang, jawatankuasa tender akan meminta semua pembida projek menghantar lebih daripada satu sebut harga.

"Walaupun bagi projek yang paling kecil bernilai beberapa ribu ringgit, sekurang-kurangnya tiga sebut harga perlu dihantar sebelum permohonan boleh diproses," katanya yang juga memegang portfolio perancangan ekonomi, pendidikan, sumber manusia, sains, teknologi dan inovasi.

Sementara di Selangor, proses tender terbuka membantu menjimatkan wang dengan menghapuskan orang tengah yang membebankan kos projek, kata bekas exco Dr Yaakop Sapari.

Katanya, sistem itu turut menghapuskan 'keuntungan atas angin' daripada kontraktor asal yang memberi arahan atau yang menyiapkan projek.

"Ini cara terbaik menghapuskan rasuah. Sistem tender tertutup menyebabkan pihak yang benar-benar berkelayakan tidak mendapat peluang," katanya.

Perdebatan mengenai sistem tender terbuka dan tender tertutup ditimbulkan semula melalui Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang mendedahkan empat projek insinerator menghadapi kelewatan pembinaan.

Projek terbabit dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat XCN Technology, yang didapati menggunakan teknologi yang tidak terbukti berkesan.

Pada Disember 2013, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming pernah membangkitkan isu sama, mendakwa syarikat itu tidak berpengalaman luas membina dan menjalankan projek loji insinerator.

Malah pada 11 November, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesyorkan kerajaan mengambil mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai dalam meluluskan projek.

Ditanya sama ada kerajaan pusat sedang melaksanakan sepenuhnya polisi tender terbuka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata perkara itu "akan mengambil masa lama".

Menurut Low, "amat sukar" untuk menguatkuasakan sistem tender terbuka serta-merta bagi projek pemberian kerajaan seperti yang pernah diumumkannya Januari lalu.

Katanya, perkara itu merupakan "perjalanan panjang" yang memerlukan masa.

"Kita sudah mula melaksanakannya tetapi perlu sedikit masa mengubahnya. Saya tidak tahu bila kita dapat melaksanakan sepenuhnya," kata menteri yang bertanggungjawab mempromosikan urus tadbir dan integriti itu.

Bagaimanapun, pandangan itu tidak dipersetujui Ramasamy dan Yaakop.

"Kenapa susah sangat mahu melaksanakan sistem tender terbuka? Apa yang diperlukan adalah membentuk jawatankuasa tender di semua jabatan.

"Pegawai sudah sedia ada," katanya merujuk kepada kakitangan awam daripada Pulau Pinang yang dilantik menganggotai jawatankuasa tender itu.

Yaakop berkata, isu insinerator itu bukan projek pertama kerajaan pusat didapati tidak mematuhi kualiti yang ditetapkan.

"Apabila melalui rundingan terus, pihak yang mendapat projek kadang kala bukan individu sama yang melaksanakannya. Dia mengambil jalan singkat dengan mengagihkan sub-kontrak itu kepada orang lain," katanya.

Katanya, memandangkan sub kontraktor perlu melaksanakan projek itu dengan kos yang terhad, mereka tidak mampu menyiapkannya mengikut kualiti asal yang ditetapkan.

Yaakop adalah Exco Pertanian Moden, Pengurusan Sumber Asli dan Pembangunan Usahawan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor penggal 2008-2013.

Menurut Ramasamy, akhirnya keputusan melaksanakan tender terbuka terletak di tangan BN dan bukan sistem itu.

"Ia melibatkan keazaman politik. Jika tidak, anda akan memberikan banyak alasan kenapa perkara ini tidak boleh dilakukan," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .