Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu setakat ini masih belum ada penjawat awam yang terlibat dalam salah laku seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara dipecat kerana masih di peringkat siasatan.
Beliau memberitahu pada ketika ini, sekretariat dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih meneliti semua kes dan proses tindakan masih berjalan.
"Tindakan disiplin sedang berjalan, kita mempunyai sekretariat dalam JPA yang sedang melihat semua kes tersebut.
"Kami akan beri laporan dari semasa ke semasa, berperingkat kepada media mengenai laporan itu," kata beliau kepada wartawan selepas menghadiri majlis di Jabatan Perhilitan, Cheras hari ini.
"Siasatan masih berjalan ketika ini."
Ali bagaimanapun memberi jaminan penjawat awam yang bersalah seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini akan dipecat selepas melalui prosedur tindakan disiplin JPA.
"Pemecatan akan dibuat menerusi tindakan disiplin, tapi ada juga cara lain di mana tindakan diambil seperti pendakwaan jenayah dan rasuah.
"Pasti mereka akan dipecat secara automatik sebaik didapati bersalah dalam aktiviti jenayah dan rasuah," katanya.
Pada 2012, prosedur disiplin dilakukan terhadap 175 pegawai tetapi hanya 85 didapati bersalah kerana kecuaian, salah guna kuasa dan penipuan.
Daripada 85, hanya seorang dipecat, terdapat 29 dikenakan surcaj, manakala 12 pegawai dikenakan amaran. Amaran dan pembekuan gaji seorang, penangguhan kenaikan gaji dikenakan kepada dua pegawai.
Bagi Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri 3, sejumlah 495 notis peringatan dikeluarkan dengan 475 daripadanya adalah arahan pembetulan manakala 20 lagi adalah arahan hukuman.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat dua notis peringatan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah Akta SPRM 2009.
Ali bagaimanapun tidak menjelaskan secara spesifik bila tindakan disiplin tersebut akan berjalan dan selesai.
Sementara itu, Ali dalam ucapannya berkata penjawat awam merupakan tiang seri negara dan menyeru semua agar berjiwa rakyat.
"Sesungguhnya penjawat awam negara adalah tiang seri negara dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam hanya dapat dikecapi dengan adanya seorang penjawat awam yang berjiwa rakyat.
"Bersama-samalah kita merakyatkan perkhidmatan awam," katanya.
Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 yang dikeluarkan baru-baru ini mendapat tumpuan apabila masih berlaku ketirisan dalam perkhidmatan awam, antaranya membabitkan seorang kerani menggelapkan hampir RM1 juta daripada Jabatan Akauntan Negara.
Selain itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga terkejut kerana lebih banyak kementerian bakal dipanggil jawatankuasanya berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang baru didedahkan.
PAC akan memanggil 13 kementerian dan dua agensi berdasarkan kepada laporan tersebut dan prosiding dijangka bermula pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
sumber
No comments: