» » Profesional Melayu bimbang kumpulan elit bolot peruntukan Bumiputera dalam Bajet 2015


Kumpulan profesional Melayu melahirkan kebimbangan peruntukan besar yang diumumkan Putrajaya dalam Bajet 2015 kepada kaum Bumiputera akan hanya dimanfaatkan kumpulan elit sama dan tidak diagihkan secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mahshar berkata peruntukan tersebut perlu sampai ke akar umbi, jika tidak usaha kerajaan untuk tingkatkan tahap ekonomi Bumiputera menjadi sia-sia.


"Itu yang kita bimbangkan, akhirnya nanti ia hanya diterima oleh kumpulan tertentu yang sama, golongan elit sama, ia tidak turun ke akar umbi," kata Nizam kepada The Malaysian Insider.

Populasi Bumiputera yang membentuk majoriti penduduk di Malaysia kini sudah mencecah 70% dan semakin meningkat menjelang tahun 2020, di mana negara mensasarkan mencapai status negara maju.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut tidak selari dengan tahap ekonomi Bumiputera yang masih gagal mencapai paras 30% dalam pemilikan ekuiti.

Walaupun pelbagai langkah diambil untuk menambahbaik tahap ekonomi Bumiputera, Nizam sebaliknya berkata jurang ekonomi tersebut semakin melebar.

"Pada pandangan kita, jurang semakin melebar," katanya.

Nizam mempersoalkan program yang diperkenalkan oleh Putrajaya, khususnya di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), berapa banyak daripada jumlah RM1.7 trilion yang disasarkan itu benar-benar sampai kepada penduduk Bumiputera.

"Sekarang ini kita ada ETP yang dibentuk Datuk Seri Idris Jala, ia mempunyai sasaran RM1.7 trilion daripada pendapatan kasar negara.

"Persoalannya, daripada sasaran ini, berapa banyak yang akan disalurkan kepada kaum Melayu, untuk menangani isu jurang yang kita bincangkan? Kita tidak mahu, walaupun ada perancangan besar tapi ia tidak turun ke akar umbi, iaitu 70% Bumiputera ini," katanya.

Nizam berkata, selain peruntukan besar setiap tahun kepada Bumiputera, perkara utama yang perlu ditekankan kerajaan ialah yang melibatkan isu ketirisan, bukan semata-mata memberikan dana atau peruntukan.

"Isu yang perlu ditekankan ialah ketirisan dan rasuah, sebab saya rasa kaum-kaum lain tidak akan rasa tenang kerana sentiasa menambah wang, tapi tidak selesai pun masalah.

"Kemana wang itu pergi? Kita perlu tekankan isu ini, bagi memastikan perkongsian kekayaan ini berjalan," katanya sambil menggesa kerajaan memperkemaskan aspek ketelusan dan integriti.

Sementara itu, Biro Profesional Muda Umno, Shahril Hamdan berkata walaupun peruntukan dan bantuan diberikan kerajaan, Bumiputera tidak harus bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan tapi perlu berani maju ke depan.

"Kita harus berani mengambil peluang untuk bersaing dalam situasi ekonomi yang kian kompetitif," katanya kepada The Malaysian Insider.

Shahril juga menolak pemberian bantuan kepada Bumiputera bermakna kaum lain diabaikan dalam pembangunan negara.

"Dengan dasar-dasar tersebut, kesemua lapisan masyarakat tidak kira bangsa atau agama boleh sama-sama terlibat dalam kemajuan ekonomi negara.

"Walaupun kerajaan kita banyak menekankan kepentingan masyarakat Bumiputera, tidak sama sekali masyarakat lain ditindas," katanya.

Beliau juga berkata, dengan adanya banyak syarikat bukan Bumiputera yang maju di negara ini membuktikan dasar kerajaan yang tidak mengabaikan mereka.

"Sekiranya terdapat penindasan yang ketara, sudah pasti syarikat-syarikat antarabangsa tidak melabur di Malaysia.

"Bukti kukuh dapat kita dapat lihat banyak syarikat multinasional yang memilih negara ini sebagai ibu pejabat mereka di rantau Asia," katanya.

Shahril berkata tanggapan mengatakan keutamaan diberikan kepada Bumiputera bertujuan untuk mendapat undi dalam pilihan raya juga suatu yang sama sekali tidak munasabah.

"Saya yakin dengan imbangan sebegini, negara kita dapat membangun dengan pesat, bersama-sama berkongsi kekayaan negara, lantas mencapai Wawasan 2020 iaitu negara berstatus negara maju dengan kemapanan dan keterangkuman," tambahnya.

Perdana menteri dalam pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM600 juta melalui Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) bertujuan meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu bagi menguatkan lagi agenda Bumiputera kerana pemilikan ekuiti korporat masih belum mencapai sasaran 30% selain kawalan ke atas kebanyakan syarikat kini hanya pada sekitar 10%.

Antara usaha lain yang juga diambil kerajaan ialah menyediakan peruntukan besar menerusi lima langkah memperkasa ekonomi Bumiputera, peruntukan tambahan kepada Tekun sebanyak RM700 juta dan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .