Penahanan tanpa bicara perlu diserapkan ke dalam Akta
Anti-Keganasan jika kerajaan benar-benar serius mahu mewujudkan undang-undang
baru bagi membanteras aktiviti keganasan di negara ini, kata seorang pakar
undang-undang.
Bagaimanapun, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed menyarankan
kerajaan menetapkan tempoh maksimum setahun sahaja bagi penahanan tersebut
untuk memberi ruang pihak berkuasa menyiasat dan mendapatkan bahan bukti.
Tempoh penahanan dua tahun yang dilaksanakan menerusi Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini berkemungkinan terlalu lama dan
boleh menimbulkan bantahan daripada sesetengah pihak, kata Dekan Kolej
Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
itu kepada Bernama.
Ahmad Martadha mengulas cadangan Kementerian Dalam Negeri
memperkenal Akta Anti-Keganasan sebagai akta baru bagi memerangi kegiatan
keganasan dan mencegah usaha merekrut sukarelawan kononnya atas nama 'jihad'.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan
berkata akta yang dicadangkan itu antara lain akan memperkuat lagi
undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah
Khas) 2012 (Sosma) dan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Poca).
Ahmad Martadha berkata Amerika Syarikat, menerusi Akta Patriot
turut menggunakan penahanan tanpa bicara, dan "pesalah akan ditahan di
Guantanamo Bay dalam suatu tempoh lama sebelum dihadapkan ke mahkamah".
Selain itu, hukuman penjara seumur hidup atau dengan tempoh yang
lama juga wajar dimasukkan sebagai sebahagian hukuman dalam Akta Anti-Keganasan
supaya dapat mencegah individu yang berniat terlibat dalam aktiviti keganasan,
katanya.
Melihat ancaman ekstremisme ketika ini kian menjadi-jadi dan
semakin membimbangkan, beliau berkata bukan hanya undang-undang, malah pasukan
petugas khas juga amat diperlukan bagi mengkaji dan mengawasi penularan ancaman
ini agar aktiviti membanteras dapat diselaraskan dengan akta yang dicadangkan
itu.
"Seperti di Sabah, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas
antara lain dianggotai polis dan tentera bagi menangani isu perairan negara,
maka, pasukan seumpama ini wajar ditubuhkan khusus bagi menangani isu
ekstremisme," katanya.
Ahmad Martadha berkata jika cadangan memperkenal Akta
Anti-Keganasan ini direalisasikan, ia akan menjadi mekanisme penting untuk
tindakan pencegahan bagi menghalang tindakan yang boleh mengancam keselamatan
negara.
"Apabila ISA dimansuhkan, negara tidak ada peruntukan
undang-undang khusus mengekang aktiviti yang mengancam keselamatan, dan ini
amat membimbangkan," katanya.
Pandangan sama diberikan Pakar Perlembagaan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz yang berkata
mekanisme pencegahan adalah penting bagi membanteras aktiviti keganasan
daripada berleluasa.
"Kita memerlukan undang-undang pencegahan kerana tanpanya,
kita akan mengalami kebimbangan seperti sekarang ini... kebimbangan mengenai
menularnya aktiviti militan, tindakan agresif yang boleh mengancam keselamatan
bukan sahaja individu tetapi negara," jelasnya.
Justeru, kesedaran mengenai pentingnya undang-undang pencegahan
dalam sesebuah negara adalah perlu agar rakyat benar-benar memahami peranan
undang-undang diwujudkan bagi menjaga keselamatan negara dan rakyat, katanya.
No comments: