» » 'Beli petrol guna Mykad menjelang Jun 2015'


Putrajaya akan menggunakan sistem subsidi bersasar bagi pembelian petrol menggunakan Mykad menjelang 2015, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan menteri kewangan itu dilaporkan berkata, mekanisme ini bagi membolehkan pemberian subsidi petrol diberi berdasarkan pendapatan individu bagi memastikan hanya golongan benar-benar layak akan menerima manfaat daripada subsidi petrol berkenaan.

"Kita dapati subsidi petrol tersasar, jadi ia perlu diperbetulkan. Susulan itu, kerajaan berkemungkinan besar merasionalisasikan subsidi petrol pada Jun tahun depan

"Jadi yang mana layak dapat subsidi, yang tak layak tak diberi subsidi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata dengan sistem berkenaan, pengguna perlu membeli petrol menggunakan MyKad kerana jumlah pendapatan mereka akan direkodkan bagi menentukan sama ada mereka pembeli yang layak menerima subsidi ataupun sebaliknya.

"Perincian sama ada guna Mykad bagi pembelian petrol... tapi ia boleh berubah kerana masih ada tempoh lapan bulan lagi sebelum dilaksanakan," katanya.

Ahmad bagaimanapun berkata, perkara itu masih lagi diperingkat kajian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga sedang meminta kertas cadangan daripada syarikat-syarikat yang ingin membangunkan mekanisme baharu itu.

"KPDNKK minta kertas cadangan untuk mekanisme baharu bagi rasionalisasi petrol kerana kalau nak masukkan pendapatan rakyat bukan satu tempoh yang singkat," kata Ahmad.

Beliau berkata melalui pelaksanaan sistem itu, rakyat berpendapatan RM4,000 ke bawah mungkin mendapat subsidi petrol seperti dinikmati semua lapisan masyarakat pada hari ini.

Namun katanya, bagi mereka yang berpendapatan antara RM4,000 hingga RM12,000 keputusan sama ada mereka layak atau tidak menerima subsidi masih belum diputuskan.

"Mungkin sebahagian subsidi dapat tetapi itu lebih kurang... belum lagi diputuskan," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .