Hukum menyentuh anjing tidak haram walaupun haiwan itu tergolong
dalam najis berat, kata bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Asri berkata ulama sepakat mengatakan anjing yang kering tidak
najis, namun najis
boleh disentuh tetapi dengan syarat perlu dibasuh jika hendak beribadat atau
pun berurusan dengan masyarakat.
"Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat
mazhab lain lebih luas dan mudah.
"Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya
jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis, "Apabila anjing
menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya
dengan tanah," katanya memetik Riwayat al-Bukhari dalam responnya terhadap
program "I Want To Touch A Dog", semalam.
Katanya, jika najis itu dianggap haram, maka haram juga seseorang menyentuh
najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika
membersihkannya.
Begitu juga dengan mereka
yang bekerja yang membabitkan bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun
darah ataupun nanah dan lain-lain, katanya.
"Begitu juga dengan doktor
veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek."
Menyentuh isu memelihara anjing
dalam rumah, katanya jika tiada tujuan selain buruan atau menjaga ternakan,
hukumnya adalah makruh.
Katanya, walaupun ada ulama yang mengharamkan, tetapi hadis Islam
tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja.
"Maka hukum makruh dipilih oleh sebahagian ahli fekah.
"Hikmahnya mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan
kerohanian dan kemasyarakatan," katanya.
Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Islam ada sebab
menghalang penganutnya memelihara anjing, antaranya baunya dan salakannya
menakutkan sesetengah orang.
Katanya aspek fizikal anjing itu bertentangan dengan agama yang
mementingkan kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara dan sahabat
sandai.
"Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau
menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang
dapat bertahan.
"Salakan anjing dan bulu di sana sini bagaikan tidak
mengalu-alukan tetamu," katanya.
Tambahnya, anjing juga berisiko dari segi keselamatan dan
kesihatan termasuk gigitan, najis, serta jilatannya.
Namun beliau menegaskan, cubaan Islam mengelakkan bahaya anjing
yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian tidak
bererti membenarkan penindasan terhadap anjing.
"Untuk mengelak jilatan anjing yang
sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan saintifik,
maka Islam melarang kita memelihara anjing dalam rumah tanpa alasan yang
diizinkan," katanya.
Program itu dianjurkan bagi menghapuskan perasaan takut dan
skeptikal masyarakat terutamanya Melayu dan Islam terhadap anjing.
Walaupun mendapat sambutan, namun ia juga mendapat kecaman
termasuk mufti di beberapa negeri yang menganggapnya melanggar budaya
masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk
Othman Mustapa dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci
berhubung anjuran tersebut yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang
tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini, katanya Islam di Malaysia
yang berpegang teguh kepada mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa
anjing dan babi itu tergolong dalam najis berat.
"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia
merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama
sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.
"Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang
tindakan akan dirujuk pada peruntukan yang ada," katanya dipetik laporan
Bernama.
No comments: