» » 'Kerajaan urus harta rakyat Malaysia macam Nabi Yusuf'


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat hari ini yakin kerajaan menguruskan harta rakyat berdasarkan kepimpinan Nabi Yusuf dengan menghayati semangat keadilan dan tidak memudaratkan.

Khatib menggariskan 9 nilai unggul dipraktikkan Nabi Yusuf dalam kepimpinannya seperti ketakwaan dan akhlak yang terpuji, penyimpanan yang baik, pembinaan bidang utama ekonomi dan perancangan yang berkesan.

“Kisah Nabi Yusuf banyak memberi pengajaran kepada kita di dalam mengurus harta dan ekonomi negara. Baginda dengan keilmuan yang mantap, kemahiran merancang dan melaksana dengan baik serta diiringi kegigihan dapat melaksanakannya secara berkesan.

”Mimbar amat yakin dalam mengurus harta rakyat ini, pihak pemerintah mengambil tauladan kewibawaan Nabi Yusuf,” kata khatib selaras pembentangan Bajet 2015 oleh perdana menteri minggu lepas.

"Dan ia dilaksanakan berdasarkan semangat Islam berpandukan prinsip al-adl wal ihsan – iaitu menghayati keadilan dan muafakat di samping tidak memudaratkan,” katanya dalam khutbah hari ini yang bertajuk Mensejahterakan Ummah.

Jakim berkata kepimpinan yang mencontohi tauladan Nabi Yusuf akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, menindas hak rakyat, mementingkan diri sendiri dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Katanya, Islam menyeru umatnya mengurus harta secara bijak dan berhemah agar dapat membimbing ke arah matlamat yang diidamkan dan menjamin keselamatan diri daripada kefakiran serta kekufuran.

”Mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama melakukan urus tadbir yang terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak dari berlakunya ketirisan dan penyelewengan.

”Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat pemerintah melahirkan sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi,” kata khatib sambil mengingatkan orang Islam yang tanggungjawab memakmurkan negara adalah amanah daripada Allah yang akan disoal di akhirat nanti.

Khatib berkata kerajaan memerintah perlu memastikan harta diagih secara adil dan saksama serta ia memberi manafaat kepada rakyat demi keselesaan serta kesejahteraan.

Katanya, komitmen pemerintah untuk rakyat dan negara agar sentiasa maju dan terpelihara hendaklah dijadikan matlamat utama kerana negara yang makmur dan dirahmati akan sentiasa mendapat pengampunan Allah.

”Menurut pandangan beberapa ulama, negara yang dikatakan baik ialah negara yang mempunyai ciri-ciri seperti pertama, sentiasa berada dalam keampunan, lindungan dan pertolongan Allah dari sebarang bentuk ancaman dalaman mahupun luaran.

”Kedua, sentiasa dilimpah kurnia rezeki yang dapat dinikmati rakyat secara adil dan saksama serta negara sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni, hasil kerjasama antara pemerintah dan rakyat,” katanya.

Bulan lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan persoalan hutang yang tinggi dan penggunaan dana 1MDB kerana terdapat laporan mendakwa badan pelaburan negara itu berhutang kira-kira RM38 bilion selepas hanya 5 tahun beroperasi.

Bekas perdana menteri itu menulis di blognya chedet.cc, 1MDB membelanjakan berbilion ringgit membeli stesen janakuasa dari Genting dan Tan Sri Ananda Krishnan dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .