Menjaga penampilan merupakan perkara paling dititik beratkan oleh penyanyi era 80-an, Salwa Abd Rahman.
Dari kecil lagi dia diasuh oleh arwah ibunya untuk menjaga kebersihan dan penampilan diri.
“Kalau saya bukan penyanyi sekali pun, saya memang telah diajar oleh arwah ibu untuk sentiasa kelihatan cantik.
“Ibu saya di rumah tidak memakai kain batik kerana lebih gemar pakai baju kurung. Arwah ayah pula suka melihat isterinya kelihatan cantik sentiasa.
“Memang dari dulu lagi saya menitik beratkan hal-hal penampilan diri sampai sekarang ini pun saya tak reti pakai kain batik,” katanya ketawa.
Tambahnya lagi, dia tidak kisah sekiranya anak perempuanya, Puteri Sulaikha mengenakan alat solek dan minyak wangi. Baginya, dia lebih suka melihat anak sulungnya itu sentiasa kelihatan kemas dan bersih.
“Saya tak perlu mengajar anak saya cara penampilan diri kerana dia sudah tahu. Kalau dia nak pakai minyak wangi atau alat solek, saya izinkan. Saya suka tengok dia dalam keadaan bersih, cantik dan wangi daripada dia kelihatan kusut masai,” ujarnya.
Selain itu, penyanyi yang dulunya popular dengan lagu Satu Dua Kau ini sangat tertib dalam penjagaan muka. Dia mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur untuk rutin hariannya itu.
“Penjagaan muka saya sangat rumit. Saya sangat pentingkan kecantikan kulit kerana sebagai seorang artis, saya perlu jaga semua itu.
“Selalunya saya akan buat facial muka dan pemakanan adalah perkara utama yang perlu dijaga. Sebelum tidur pula saya mesti mencuci muka.
“Kadang-kadang tu saya mengambil masa yang sangat lama membelek muka sehinggakan suami penat menunggu. Ini kerana saya mempunyai set penjagaan muka lengkap dengan losyen, toner, pencuci muka dan sebagainya,” kata Salwa.
No comments: