Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) berikutan kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak berperanan untuk menghukum guru.
Timbalan perdana menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata jawatankuasa yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi hanya untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) peperiksaan awam oleh LPM.
"Jawatankuasa yang ditubuhkan itu bukan untuk menggantung (tugas) guru-guru, hanya untuk mengkaji SOP, bagaimana kertas peperiksaan dikeluarkan, siapa yang sediakan, siapa yang luluskan, siapa yang mencetak dan prosedur pembungkusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Warga Pendidik Bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Tumpat, hari ini.
Muhyiddin berkata tindakan tegas yang akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam kes kebocoran soalan UPSR itu adalah sebagai pengajaran kepada yang lain supaya kes seumpama itu tidak berulang.
"Integriti penting sebab apabila perkara sebegini timbul, ia akan menimbulkan masalah," katanya.
Beliau juga meminta warga pendidik supaya tidak berasa kecewa dengan persepsi negatif masyarakat ekoran isu kebocoran soalan UPSR itu.
Katanya sebahagian besar atau 99.9% guru di negara ini mempunyai integriti yang tinggi untuk mendidik anak bangsa.
sumber
No comments: