» » 'Ikut prosedur elak soalan perkauman dalam peperiksaan'


Sementara sumber kertas peperiksaan berbaur perkauman tersebar di media sosial masih menjadi misteri, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata ia mempunyai prosedur standard yang perlu diikuti para guru dalam merangka soalan.

Menurut Presiden NUTP, Hashim Adnan, adalah satu kesilapan besar jika soalan kontroversi ditetapkan bagi peperiksaan sekolah kerana ia bermakna prosedur operasi standard tidak dipatuhi.

"Kertas peperiksaan disemak dan diperiksa oleh orang berlainan sebelum ia diberikan kepada pelajar.

"Selepas guru menetapkan kertas soalan ini, ia diserahkan kepada guru yang bertanggungjawab bagi subjek itu di sekolah untuk diperiksa. Kemudian, penolong kanan yang mengetuai kurikulum akan memeriksanya juga – untuk melihat sama ada semua soalan sesuai untuk pelajar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata adalah tidak profesional jika guru menetapkan soalan berbaur perkauman, dan menyifatkannya perbuatan memalukan dan "tidak boleh dimaafkan".

Hashim mengulas soalan kertas Bahasa Malaysia yang gambarnya dikongsi di media sosial baru-baru ini, meminta pelajar memadankan senarai nilai baik berdasarkan kaum.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan kepada akhbar The Sun Daily menafikan soalan itu sebahagian daripada kertas Bahasa Malaysia dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 baru-baru ini.

"Kami menerima aduan mengenai perkara itu pada 8 September, sebelum peperiksaan Bahasa Malaysia UPSR. Kementerian ingin mengesahkan ia bukan soalan dalam kertas peperiksaan itu dan pihak kementerian tidak terlibat merangka soalan itu," jurucakap kementerian memberitahu akhbar itu.

Kementerian itu bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia mengetahui di mana soalan itu dikeluarkan.

Ketika penyebarannya di media sosial menimbulkan kemarahan ramai, ibu bapa juga mengesahkan soalan itu bukan sebahagian daripada kertas Bahasa Malaysia dalam UPSR.

Hashim mengingatkan para guru agar berhati-hati dan lebih teliti memeriksa kemungkinan wujudnya soalan demikian semasa menyediakan kertas peperiksaan.

"Ada kalanya guru dibanjiri terlalu banyak kertas peperiksaan yang mereka lihat sekali lalu dan terus beri kelulusan. Kadangkala mereka langsung tidak melihatnya," katanya.

Hashim berkata, para guru perlu mengelakkan diri daripada isu perkauman dalam kelas dan kertas peperiksaan kerana ia memudaratkan pelajar mereka.

"Ia bukan satu soalan yang bijak dan sangat tidak profesional memberikan soalan sebegitu kepada pelajar yang diamanahkan," kata beliau.

"Ia tidak boleh dimaafkan."

Pihak kementerian juga mengutuk "pihak tidak bertanggungjawab” yang mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk menyebarkan khabar angin.

Kementerian Pendidikan berhadapan masalah baru-baru ini berikutan kebocoran kertas soalan mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains UPSR, yang menjejaskan lebih 470,000 pelajar Tahun 6 kerana terpaksa menduduki semula kertas berkenaan pada 30 September.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .