Usaha pihak polis membanteras jenayah perlu ditumpukan kepada kerja perisikan dan penyiasatan dan bukannya bergantung kepada undang-undang menindas, kata kumpulan hak asasi manusia dan peguam.
Mereka berkata, hujah polis mengatakan pemansuhan undang-undang tahanan pencegahan boleh menyebabkan peningkatan jenayah tidak dapat dibuktikan. Ini kerana, kadar jenayah tetap meningkat walaupun dengan penggunaan undang-undang tersebut.
Undang-undang yang diperkatakan ialah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, yang menurut Ketua Polis Negara (KPN) masih perlu bagi membantu polis memerangi pengedaran dadah.
Undang-undang itu membenarkan sehingga 60 hari penahanan tanpa bicara bagi suspek pengedar dadah dan kingpin.
Bagi Datuk Dr Denison Jayasooria, Setiausaha Agung Persatuan Penggalakan Hak Asasi Manusia (Proham), adalah lebih berkesan memerangi pengedaran dadah dengan menambah tenaga kerja polis di bahagian perisikan dan penyiasatan.
"Dengan memansuhkan tahanan tanpa bicara tidak bermakna kita berlembut terhadap jenayah. Penggunaan undang-undang itu sekarang tidak pun mengurangkan pengedaran dadah atau menghapuskan penagihan dadah.
"Apa yang diperlukan ialah tindakan lebih tegas terhadap rasuah dan pemantauan atas suspek yang lebih rapi. Kuasa itu sudah ada tetapi tenaga kerja perlu ditingkatkan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Penahanan tanpa bicara melanggar hak asasi manusia dan membuka jalan kepada penderaan orang tahanan oleh pihak berkuasa, kata Amnesty International Malaysia.
Pengarah eksekutifnya, Shamini Darshni berkata, pihak berkuasa tidak boleh mengorbankan hak asasi atas nama keselamatan.
"Mereka sepatutnya mengkaji semula atau memansuhkan dengan serta-merta sebarang kelonggaran undang-undang yang boleh mengakibatkan pelanggaran hak asasi manusia.
"Kala benar ADB itu berkesan mencegah jenayah, kenapa kadar jenayah terus meningkat? Sebab itulah undang-undang sedia ada mesti dilihat semula, dan ia mesti dilakukan dari kacamata hak asasi manusia bagi memastikan tiada ruang untuk salah guna kuasa," katanya.
Peguam jenayah, Amer Hamzah Arshad bersetuju kes dadah masih meningkat dari masa ke semasa.
"Kita ada hukuman gantung untuk pengedaran dadah, tapi ada kamu lihat penurunan dalam kes pengedaran dadah?
"Lihat kepada undang-undang itu sebelum dan selepas ia diperkenalkan, ada apa-apa perubahan dalam kesalahan berkaitan dadah? Ada penurunan yang ketara?" soalnya.
Jumaat lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mempersendakan saranan Suaram supaya ADB dimansuhkan.
"Suaram kata Akta Dadah Berbahaya perlu di mansuhkan. Wahhhh seronok lah pengedar2 dadah. Usaha @PDRMsia membanteras Dadah akan terbantut!" kata Khalid menerusi akaun Twitternya @KBAB51.
"@PDRMsia percaya Rakyat M'sia mahu PDRM banteras Dadah habis2an. Kalau ADB dimansuhkan, PDRM nak guna apa?"
Terdahulu, Suaram menyamakan peruntukan penahanan tanpa bicara dalam ADB sama dengan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Ordinan Kecemasan 1969 yang dimansuhkan.
Pengarah eksekutif Suaram, Yap Swee Seng berkata mengikut ADB, seseorang boleh ditangkap sewenang-wenangnya tanpa waran atau alasan yang mnasabah.
"Lebih mustahak, mereka yang ditahan mengikut akta ini hilang hak mereka mendapatkan perbicaraan yang adil," katanya pada satu sidang media, sambil menambah statistik Agensi Anti-Dadah Kebangsaan menunjukkan jenayah berkaitan dadah terus meningkat sejak 2008 hingga tahun lepas.
Shamini berkata, Suaram pernah membangkitkan beberapa persoalan penting berkaitan undang-undang itu.
"ADB, seperti undang-undang lain termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Hasutan 1948, membuka peluang kepada lebih banyak penyalahgunaan termasuk dengan memberi layanan buruk terhadap tahanan polis.
"Ini terbukti sekian lama oleh pertubuhan masyarakat dan akhir-akhir ini, kehakiman," katanya.
Shamini menambah, ADB dan undang-undang lain yang mempunyai klausa demikian mempunyai "tafsiran yang luas" dan boleh mengakibatkan pelanggaran hak rakyat.
Amer berkata, ADB bertujuan membantu polis menangkap dan menyiasat orang disyaki tanpa perlu membawa mereka ke mahkamah.
"Sebagai seorang peguam, saya berpendapat semua orang mesti diberi hak untuk didengari di mahkamah. Apa saja kes jenayah yang dituduh terhadapnya, seseorang individu mesti disiasat dan didakwa di mahkamah sekiranya ada bukti. Tiada sesiapa pun sepatutnya ditahan tanpa bicara," katanya.
Amer juga menyifatkan undang-undang sedia ada mencukupi untuk mendakwa seseorang atas sebarang kesalahan, dan tidak wujud keperluan untuk menahan seseorang tanpa bicara.
sumber
No comments: