Adakah pelan Internet, pelan data mudah alih dan langganan Astro sekarang amat diperlukan seperti mana telefon bimbit, komputer dan kereta?
The Malaysian Insider menemui beberapa keluarga di Lembah Klang dan Pulau Pinang bertanyakan sama ada perkhidmatan tersebut merupakan keperluan yang mesti ada di kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Apa yang kami dapati ialah bagaimana "kemewahan" itu sebenarnya dijadikan ibu bapa cara mengimbangi ketidakupayaan mereka menyediakan kemewahan lain untuk anak mereka seperti rekreasi atau penjagaan yang baik.
Ghafar Mohamad yang tinggal di Klang, Selangor berkata beliau percaya mana-mana keluarga yang ada anak bersekolah menengah seperti dirinya perlu ada sambungan Internet di rumah.
"Kanak-kanak sekolah sekarang diberi kerja rumah yang memerlukan mereka menggunakan Internet," kata perunding perniagaan berusia 52 tahun yang mempunyai 4 anak, 3 daripadanya berumur antara 11 dan 16 tahun.
Ghafar sendiri memerlukan pelan Internet untuk bekerja. Jadi, keluarga itu membelanjakan sekurang-kurangnya RM68 sebulan untuk pelan asas Internet.
Memandangkan dia dan isterinya berpendapatan kira-kira RM6,500 sebulan, dia mahu memastikan anak-anaknya tidak perlu pergi ke kafe siber.
"Di kafe siber, kita tidak pasti apa tujuan mereka ke sana. Sekurang-kurangnya, dengan Internet di rumah, kita boleh pantau apa yang mereka layari di Internet,” katanya.
Pandangannya dikongsi semua 13 keluarga yang ditemuramah, kecuali satu.
Satu-satunya kediaman yang tidak memerlukan Internet ialah keluarga Tee Seng Yean. Ini kerana, warga tua berumur 78 tahun itu tiada anak atau cucu tinggal bersamanya.
Seorang bapa yang ditemui, Ojaran Fakharurrazi Omar, 37, dari Pulau Pinang, sanggup mengeluarkan duit untuk anaknya menggunakan kafe siber walaupun ia ada risikonya tersendiri kerana dia tidak mampu menyediakan pelan Internet di rumah.
“Saya beri anak saya duit untuk guna Internet di kafe siber untuk buat kerja rumahnya," kata Ojaran, merujuk kepada anak lelakinya berusia 9 tahun.
Pelan Internet mudah alih bagaimanapun hanya dianggap keperluan oleh 4 daripada 13 keluarga yang ditemui.
Semua mereka, Ghafar, Michael De Cruz dan Yazid Othman dari Kuala Lumpur, serta Mohd Hafiz Abd Aziz dari Pulau Pinang berkata pelan data itu diperlukan untuk kerja mereka.
“Pelan data mudah alih satu kemestian. Kita perlukannya untuk memudahkan komunikasi dengan kawan,” kata Yazid, 33, yang bekerja sebagai penghantar pesanan di sebuah syarikat jam.
Datuk Paul Selvaraj dari pertubuhan pengguna Fomca berkata memandangkan Internet merupakan kaedah utama komunikasi di sekolah dan tempat kerja, ia boleh dianggap satu keperluan.
"Tetapi masih terdapat persoalan berapa besar (bandwidth) yang diperlukan dan ia digunakan untuk apa. Kerajaan harus mempertimbangkan mengawal selia industri ini supaya ada pakej asas yang boleh ditawarkan kepada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.
Apabila bercakap tentang Astro, mereka yang merasakan ia satu keperluan hampir sama bilangannya dengan yang merasakan sambungan Internet itu diperlukan.
Mereka yang mempunyai Astro berkata pada era ini, hampir tidak boleh menonton televisyen sekiranya tiada Astro.
Ghafar ada cerita menarik kenapa keluarganya perlukan Astro.
“Dengan Astro, kita boleh berjimat kerana tidak perlu habiskan duit untuk hiburan lain. Kita tidak perlu tengok wayang dan kita boleh pastikan anak-anak tinggal di rumah dan tidak merayau ke mana-mana dan hadapi risiko diculik,” katanya.
Zainal Ahmad juga bersetuju walaupun dia hanya berpendapatan RM2,100 sebulan hasil berniaga burger di gerai.
“Anak-anak saya merungut saya tidak bawa mereka keluar berjalan-jalan. Tetapi saya tidak cukup duit untuk bawa mereka keluar. Jadi, saya mesti cari jalan lain memberi hiburan kepada mereka dan memastikan masa mereka terisi,” katanya.
Sekiranya dia membawa isteri dan anak-anak ke pusat membeli belah, contohnya, dia terpaksa mengeluarkan duit untuk minyak kereta, parkir dan makanan untuk 6 orang.
Keluar sehari saja, Zainal terpaksa menghabiskan antara RM80 dan RM100, berbanding langganan Astro RM130 sebulan.
Dan, ada juga kelebihan lainnya yang dipersetujui kedua-dua Zainal dan Ghafar, anak-anak sekolah boleh belajar dari saluran pendidikan TVIQ, yang juga memberi panduan belajar dan menghadapi peperiksaan, contohnnya.
Selvaraj bagaimanapun percaya televisyen kabel seperti Astro tidak patut diklasifikasi sebagai keperluan.
"Kita belum bersedia menganggap Astro satu keperluan. Orang cakap saja mereka tonton program pendidikan,” katanya.
sumber




No comments: