» » LFL wakili suara golongan tertindas


Sewaktu keluarga A Kugan, suspek yang mati dalam tahanan polis pada 2009, ragu dengan situasi menyebabkan kematiannya, mereka meminta bantuan kumpulan hak asasi dan reformasi undang-undang yang baru berusia setahun jagung menegakkan keadilan untuk mereka.

Walaupun kebanyakan dalang kes berkenaan masih belum ditangkap, kes tersebut menjadikan Lawyers for Liberty (LFL) sekarang terkenal sebagai kumpulan hak asasi yang paling lantang bersuara dan tidak takut mencabar, malah kepada polis.

Hari ini, LFL sinonim dengan kes kematian dalam tahanan, keganasan polis dan lain-lain kes berprofil tinggi.

“Kami tidak menolak kes yang rumit atau kontroversi. Kebanyakan peguam di Malaysia agak konservatif dan mereka mengehadkan kerja mereka hanya di mahkamah, namun kami lebih berfikiran aktivis dan radikal,” kata pengarah eksekutifnya, Eric Paulsen kepada The Malaysian Insider.

“Kami rasa cara terbaik ialah dengan mengambil posisi 'menyerang.' Saya rasa begitu caranya LFL berjaya mencipta impak,” katanya.

Paulsen yang merupakan pengasas bersama LFL, selain rakan guamannya N Surendran dan Latheefa Koya, berkata kumpulan itu mula bekerjasama pada 2007 sejak mereka ditahan kerana menyertai perhimpunan haram.

“Pada Hari Hak Asasi Sedunia, kira-kira 100 peguam berarak dari Sogo ke bangunan Majlis Peguam. Beberapa orang daripada kami ditahan, termasuk saya sendiri, Surendran, Latheefa, (ahli Parlimen Subang) R Sivarasa dan Ammer Hamzah.

“Kami didakwa tetapi kemudiannya dibebaskan. Jadi, kami bekerja secara tidak formal sebagai sebuah kumpulan sejak hari itu walaupun LFL ditubuhkan secara rasmi pada 2010,” katanya.

Paulsen, yang sebelum ini bersama kumpulan hak asasi manusia Suaram, berkata keperluan menubuhkan sebuah badan formal timbul 4 tahun lalu.

“Kami sebelum ini bergerak bersendirian tanpa sokongan sebuah pertubuhan selama 3 tahun. Kemudian kami sedar betapa perlunya sebuah organisasi seperti LFL.

“Kami bertemu di kedai kopi dan sebaginya. Jadi, kami memutuskan untuk jadi lebih kukuh,” katanya yang menambah LFL kini mempunyai pejabatnya sendiri, lengkap dengan sumber dan dana.

Lebih dikenali sebagai kumpulan pendesak polis, Paulsen berkata LFL mula mengendalikan kes besar sejak beberapa tahun lalu.

"Kami tidak selalu menang kerana kes yang kami ambil biasanya berat. Tetapi ada juga yang memihak kepada kami. Kes terbesar yang kami menang ialah kes Nik Nazmi Nik Ahmad,” katanya.

Paulsen merujuk kes Nik Nazmi, yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, yang didakwa gagal memberi polis notis 10 hari sebelum mengadakan Himpunan Black Out tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan Mahkamah Rayuan yang mendapati polis boleh mencegah perhimpunan aman itu tetapi tidak boleh mendenda penganjur dan peserta kerana tidak patuh kepada Akta Perhimpunan Aman.

"Kes itu memberikan kami banyak pengiktirafan kerana ia tentang hak asasi manusia. Kami tidak pernah pergi sampai ke Mahkamah Rayuan untuk kes seperti ini," katanya.

Paulsen berkata, LFL tidak gentar bersuara lantang dan mengaku dalam 4 tahun lalu, ia berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai peguam yang "merakyat."

"Kami tidak takut mencabar pihak berkuasa. Kami mungkin lantang dan bercakap kasar tetapi kami lakukannya selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, yang kami tuntut juga ialah pembaharuan. Itu cabaran terbesar kami. Kami rasa dalam banyak kes, kami bertindak apabila seseorang mati (dalam lokap), tetapi ini adalah strategi dan proses jangka panjang," katanya.

Paulsen akui kes melibatkan kematian dalam tahanan dan tembak-menembak polis merupakan yang paling sukar kerana terpaksa melawan pihak berkuasa, namun bertegas LFL tidak akan lari daripada kes sedemikian.

"Malangnya, hingga ke hari ini, masih tiada pembaharuan dalam kes seperti ini. Dalam kes C Sugumar dan Aminulrasyid Amzah, tiada yang didakwa bertanggungjawab.

"Kami tidak melihat sebarang perubahan daripada segi peraturan pertempuran dan prosedur operasi standard, bila polis dibenarkan menembak secara terbuka dan dalam memastikan perkara sebegini tidak berulang,” katanya/

Bagaimanapun, Paulsen yakin LFL berjaya membawa perubahan walau mungkin tidak sebesar mana.

"Kami fikir kami menyumbang kepada sedikit perubahan seperti dalam Akta Perhimpunan Aman dan kes kematian dalam tahanan.

"Tetapi, tipulah kalau saya kata tidak kisah apa yang saya katakan," katanya.

Paulsen berkata, ini jalan yang dipilih peguam LFL dan apa yang penting ialah menunjukkan mereka tidak mudah ditakutkan pihak berkuasa.

"Dengan begitu banyak kes dikenakan mengikut Akta Hasutan sekarang, saya mungkin sasaran seterusnya. Kami cuba untuk tidak fikirkan tentang itu, tapi kalau ia terjadi, terjadilah.

"Ini jalan yang kami pilih untuk diri kami. Bersamanya ada ruang lingkup tersendiri. Memang akan ada unsur risiko dalam setiap apa yang kami lakukan, tetapi kami harus tunjukkan yang kami tidak takut atau gentar dengan kes hasutan yang menggila sekarang,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .