Dalam menerima desakan menghentikan hubungan dagang dengan Israel kerana kekejaman rejim Zionis itu terhadap Palestin, Putrajaya menegaskan Malaysia sudah menghentikan perdagangan langsung dengan Israel, tetapi sukar untuk melakukan yang sama dalam kes perdagangan tidak langsung.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, tindakan memboikot produk buatan Israel boleh dilaksanakan, namun akan menjejaskan beberapa produk keperluan termasuk kapal terbang memandangkan terdapat komponen yang dikeluarkan syarikat Israel.
Mustapha dipetik akhbar Utusan Malaysia berkata, perdagangan tanpa sempadan dan urusan pelaburan langsung asing (FDI) dengan pelbagai negara merupakan realiti hari ini.
Oleh itu, sukar bagi Malaysia mengelak perniagaan tidak langsung dengan Israel.
"Perdagangan (secara langsung) ini dihentikan, terutama sekali apabila menilai apa yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin," katanya kepada pelajar-pelajar Malaysia di Sydney, Australia minggu lalu, lapor Utusan.
Mustapha berkata, Malaysia turut menjalankan urusan perdagangan dengan Palestin yang mana turut melibatkan pihak berkuasa Israel.
Sekiranya kerajaan ingin memboikot perdagangan tidak langsung dengan Israel, Malaysia juga terpaksa menghentikan perdagangan dengan Palestin.
"Maka, hal itu tidak dapat dielakkan, jika mahu menghentikannya, Malaysia terpaksa juga menghentikan perdagangan dengan Palestin," katanya ketika menjawab pertanyaan pelajar sempena misi perdagangan seminggu ke Australia untuk menggalakkan perniagaan dan pelaburan Malaysia-Australia.
Beliau berkata, perdagangan terus mungkin berlaku memandangkan Malaysia merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dengan penguasaan pasaran 70% pengeluaran dunia.
Beliau berkata, disebabkan itu, mungkin ada syarikat Israel yang terpaksa membeli sarung tangan getah itu.
Mustapa turut berkata, faktor lain yang berpotensi menjadikan Malaysia menjalinkan perdagangan dengan Israel apabila ada rakan dagang yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
Beliau berkata, salah satu contoh adalah perdagangan antara Malaysia dan Singapura, yang mana negara republik itu adalah antara rakan dagang utama negara dan mempunyai hubungan diplomatik perniagaan dengan Israel.
"Disebabkan hal ini (melalui Singapura), agak sukar untuk mengenal pasti sama ada sesuatu produk itu berasal dari Israel atau tidak," katanya lagi.
Ekoran serangan bertalu-talu rejim Zionis kepada penduduk Gaza di Palestin, beberapa kumpulan mendesak kerajaan menghentikan hubungan dagang dengan Israel.
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin sebelum ini mendakwa, pemimpin Malaysia munafik kerana tidak berani mengaku menjalinkan hubungan dagang dengan Israel melalui penghantaran produk minyak sawit ke Pelabuhan Ashod dan Haifa di negara berkenaan.
Badrul berkata, ketika pemimpin negara mengajak rakyat bersedih, kerajaan Malaysia sendiri menghantar sejumlah besar minyak sawit untuk kegunaan negara berkenaan, malah Malaysia adalah rakan dagang utama Israel.
"Kerajaan hari ini munafik, hipokrit, kita ajak rakyat menderma untuk Palestin, tetapi kita hantar kapal besar untuk bantu ekonomi Israel.
"Kitalah punca, kita antara rakan dagangan utama, kalau kita hentikan Israel akan ada masalah," katanya.
Badrul turut menunjukkan bukti penghantaran kapal laut minyak sawit dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Ashod pada 3 Julai lalu.
"Tiada apa lagi yang diharapkan, SAMM hanya mengharapkan kerajaan berterus terang kepada rakyat, negara ini sebenarnya pro-Israel dari dulu, kini dan selamanya selagi Umno memerintah," dakwanya.
sumber




No comments: