» » 'Najib mungkir janji mansuh Akta Hasutan'


Masyarakat sivil dan peguam hak asasi manusia melahirkan kekecewaan mereka apabila seorang lagi ahli politik akan didakwa mengikut Akta Hasutan walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan akta berkenaan.

Mereka berkata, kebelakangan ini sudah menjadi lumrah Putrajaya menggunakan undang-undang "purba" untuk menyekat perbezaan pandangan pemimpin pembangkang dan individu yang lantang melontarkan kritikan.

Mereka berkata rekod hak asasi manusia di Malaysia akan terus menerima kecaman jika undang-undang ini dengan mudah digunakan untuk menghalang kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Gobind Singh Deo berkata dakwaan terhadap Naib Presiden PKR N Surendran di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini merupakan satu lagi contoh Putrajaya mengambil kesempatan menyalahguna undang-undang tersebut.

"Perdana menteri berjanji untuk memansuhkan undang-undang ini, tetapi apa yang kita lihat adalah yang bertentangan. Lagi dan lagi pemimpin pembangkang didakwa," katanya selaku pengerusi biro guaman kebangsaan DAP.

Gobind berkata, Najib gagal berpegang kepada janjinya untuk menjadikan Malaysia "negara demokrasi terbaik" dunia.

Katanya, kes Surendran melihatkan sistem keadilan jenayah di Malaysia yang menyedihkan.

Polis mengambil keterangan Surendran di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju malam tadi selepas menyerahkan waran tangkap dan didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Timbalan Ketua Cawangan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata, Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai dibebaskan dengan ikat jamin dan akan didakwa hari ini mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Surendran yang juga peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa tuduhan Liwat 2 ke atas ketua umum PKR itu merupakan konspirasi politik melibatkan Najib.

Beliau merupakan ahli politik Pakatan Rakyat terbaru yang didakwa menghasut pada tahun ini. Sebelum ini, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang juga ahli Parlimen Batu pernah didakwa mengikut akta sama.

Jika didapati bersalah kerana menghasut, hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Status Surendran selaku ahli Parlimen akan dilucutkan jika beliau didenda melebihi RM2,000 atau penjara melebihi satu tahun.

Pengerusi Bersama Centre for Better Tomorrow (Cenbet) Lim Chee Wee berkata, ironi apabila Najib mengambil kesempatan untuk mendakwa pengkritik kepadanya.

"Kerajaan dipimpin Najib harus segera memansuhkan akta kuno yang mendapat kritikan dunia ini," katanya yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam.

Najib berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan pada 2012 yang merupakan undang-undang digunakan untuk membanteras kekejaman komunis pada zaman darurat.

Pengarah Eksekutif Suaram Yap Swee Seng berkata, masyarakat antarabangsa memantau rapat Malaysia, maka pemimpin politik perlu mempunyai keazaman memperlihatkan mereka mampu membuat pembaharuan dan mengembalikan hak asasi kepada rakyat.

Katanya, Najib boleh menggunakan media bagi menjawab tuduhan Surendran.

"Beliau akan mendapat liputan meluas kerana statusnya sebagai pemimpin negara. Dengan berbuat demikian, rakyat diberi peluang untuk membuat pengadilan," katanya.

Peguam Fahri Azzat berkata, Najib boleh meminta permohonan maaf dari Surendran dan jika gagal berbuat demikian, perdana menteri boleh mengambil tindakan undang-undang.

"Apa yang dilontarkan Surendran merupakan penghinaan peribadi kepada Najib. Perdana menteri bakal diberikan ganjaran jika Surendran didapati bersalah merosakkan reputasinya," katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .