» » 'Najib perlu dihormati semua termasuk Dr Mahathir'


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menepis kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu dihormati bukan sahaja oleh rakyat bahkan juga termasuk bekas pemimpin di negara ini.

Katanya ini adalah kerana rakyat sudah memberi mandat untuk perdana menteri itu terus mentadbir negara ‎dan Najib berhak menuntut kesetiaan daripada rakyatnya.

"Seorang pemimpin yang dipilih rakyat perlu dihormati oleh semua rakyat termasuk bekas pemimpin," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Pertauliahan ‎dan Perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Sispa) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi hari ini.

Zahid bagaimanapun berkata, Dr Mahathir mempunyai hak untuk memberi pandangan.

Semalam menerusi laman blog popularnya, Dr Mahathir secara terbuka berkata, beliau terpaksa menarik balik sokongan dan terpaksa mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukannya kerana Najib tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruknya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu, terpaksalah saya menegur," katanya.

Malah bekas perdana menteri paling lama itu tidak menyangka prestasi perdana menteri dalam PRU13 akan menjadi lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU12 pada 2008.

"Pilihan saya bagi mengganti Abdullah ialah Najib. Setelah beberapa lama dilihat dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara," kata bekas perdana menteri itu.

Mengulas mengenai isu perbandingan itu Zahid berkata, setiap pemimpin mempunyai era masing-masing yang tidak boleh dibandingkan.

Beliau berkata, Najib sudah melakukan terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dan terpaksa berdepan dengan cabaran arus kebangkitan media sosial.

"Saya ada membaca blog berkenaan, dan pada hemat saya setiap pemimpin ada era mereka yang menjadikan pemimpin itu berada di zamannya yang tersendiri.

"Zaman Najib adalah zaman sesuai dengan era Najib kerana dulu tidak ada media sosial sekarang ini banyak media sosial jadi keadaan itu yang harus difahami," katanya.

Selain itu, Zahid juga menegaskan tidak ada satu gesaan peletakan jawatan Najib yang dibangkitkan di peringkat akar umbi seperti mana yang didakwa sebelum ini

Bagaimanapun beliau berkata, kebanyakan kritikan yang dilemparkan ke atas Najib datangnya daripada pihak yang menggunakan media sosial bagi meluahkan pendapat peribadi, termasuk bekas perdana menteri itu sendiri.

"Komen yang negatif lazimnya merupakan pendapat peribadi yang dikendalikan oleh pemain dan pemuka media sosial termasuk Tun Dr Mahathir.

"Dalam zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan mungkin itu merupakan harga perlu dibayar oleh mana mana pemimpin," katanya.

Pentadbiran Najib dikritik hebat pelbagai pihak, terutamanya kerana kenaikan kos kehidupan dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015.

Namun keadaan itu berubah selepas nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 bulan lepas apabila Najib menerima pujian ramai kerana menguruskan krisis tersebut dengan baik.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .