» » 'Dr Mahathir kritik kerana Najib tidak mendengar dan tak ambil tindakan'


Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini bersetuju dengan kritikan yang dilontarkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak dan menyifatkan perdana menteri tidak cukup pantas mengatasi masalah negara.

Presiden Isma Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata satu persatu masalah yang menimpa negara adalah kerana tiada tindakan segera daripada Najib yang mengundang rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

“Dr Mahathir memberi isyarat supaya Najib lebih peka. Mungkin Dr Mahathir menyuarakan pandangan akar umbi dan bukan sekadar pandangannya sahaja, kerana banyak yang tidak puas hati dengan prestasi (Najib) dan sebagainya.

“Saya setuju kerana beliau tidak cukup mendengar. Rakyat tuntut beliau lebih tegas, ada tindakan segera. Tetapi beliau dilihat tidak boleh memenuhi. Tidak pantas. Itu menjadi masalah yang berlonggok-longgok,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Semalam, Dr Mahathir menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, penarikan sokongan itu dibuat kerana Najib tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara," kata Dr Mahathir melalui tulisan di blognya, www.chedet.cc.

Abdullah Zaik berkata apa yang dilontarkan Dr Mahathir itu bukan perkara baru sebaliknya beliau sendiri pernah menyuarakan kepada Najib terhadap kerajaannya yang lambat mengambil tindakan.

Katanya, akibat tiada tindakan daripada kerajaan maka wujudlah golongan yang berani mempersoalkan Perlembagaan negara dan mengambil tindakan di luar batasan undang-undang.

“Hasil sikap tidak tegas beliau lahir pelbagai krisis rasa tidak puas hati. Saya sendiri pernah suarakan pada beliau bahawa masyarakat di bawah tidak berpuas hati dengan cara tindakan membiarkan sesuatu perkara berlanjutan.

“Bila berlanjutan, (terjadi) sesuatu provokasi sebagai contoh, tiada tindakan dan ketegasan segera diambil pihak kerajaan maka pihak satu lagi menimbulkan rasa tidak puas hati dan memberi reaksi balas yang serupa,” katanya.

Dr Mahathir melalui kiriman blognya semalam turut menyelar Najib kerana melayan tuntutan ‘musuh’ apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (DO).

Katanya, walaupun Najib melayan tuntutan ‘musuh’ namun mereka tidak sedikit pun mengurangkan tentangan mereka terhadap kerajaan.

"Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng," kata Dr Mahathir.

Abdullah Zaik berkata Najib mewujudkan satu "ruang kosong" kepada masyarakat apabila undang-undang pencegahan penting negara dimansuhkan dan ia memberi ruang kepada pihak tertentu memanipulasi keadaan berkenaan.

Katanya, golongan yang membuat pelbagai tuntutan untuk memansuhkan undang-undang pencegahan mempunyai niat yang tidak baik dan ia sekadar untuk mencari kepentingan politik.

“Jika hendak buang sesuatu undang-undang, beliau perlu ganti dengan undang-undang lain. Ini masalahnya beliau membiarkan satu ruang kosong yang digunakan pelbagai pihak untuk tujuan mereka dan tiada tindakan balas.

“Maksudnya tiada ketegasan. Orang cabar Perlembagaan pun tiada masalah, dibiarkan begitu. Saya dari dulu tidak melihat masalah undang-undang tetapi orang yang melaksanakan. Soal undang-undang itu digunakan untuk kepentingan politik.

“Yang menuntut pembebasan ini pun, mereka bukan orang baik. Soal ganti undang-undang bukan isu besar tetapi kita sendiri,” katanya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .