Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata Amerika merupakan penaja utama keganasan Israel dan turut menjadi pembekal utama senjata kepada mereka.
"Sehingga kini, Israel telah mencabul sebanyak 79 resolusi PBB yang diluluskan di antara 1948 dan 2009.
"Walaupun Amerika Syarikat merupakan rakan dagang utama Israel, AS telah gagal untuk mengambil sebarang tindakan punitif ataupun menggantung perdagangan dengan rejim Zionis tersebut.
"Sepertimana dalam kenyataan saya sebelum ini, menandatangani perjanjian ini samalah seperti menyokong keganasan di Gaza," katanya yang juga naib presiden PKR.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed bahawa kerajaan sedang menilai semula hubungan dengan syarikat multinasional dari China, Amerika dan Jepun yang mempunyai perniagaan di Israel, sebagai respon terhadap keganasan yang berlaku di wilayah Gaza.
Nurul Izzah turut menggesa Malaysia mengikuti jejak langkah Chile yang telah menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas mereka sebagai membantah tindakan ganas Israel kepada rakyat Palestin.
"Tindakan tindakan sebegini jelas menunjukkan solidariti bersama warga Palestin, di atas nama kemanusiaan harus dicontohi oleh negara-negara yang lain bertamadun," katanya sambil mendesak kementerian mendedahkan syarikat yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel.
Nurul Izzah berkata menurut laman web Biro Statistik Israel menyatakan Malaysia mengeksport hasil sawit, kelapa dan lain-lain minyak sayuran bernilai kira-kira USD$19.41 juta (RM 61.99 juta), hasil koko bernilai USD$8.67 juta (RM 27.69 juta) dan hasil getah bernilai USD$11.54 juta (RM 36.86 juta) pada 2011.
"Kerajaan perlu memberikan penjelasan, adakah hasil bumi Malaysia juga ada dieksport terus kepada Israel dan syarikat manakah yang terlibat dalam mengeksport hasil bumi Malaysia ke negara Zionis tersebut.
"Sebuah garis masa daripada pihak kementerian untuk sebarang keputusan atau tindakan ke atas Israel, termasuk berkenaan hubungan dagang ini perlu dibuat untuk tindakan segera dan tepat pada masanya diambil," katanya.
sumber
No comments: