Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Isnin membenarkan permohonan pelakon Ezany Nizariff untuk menolak permohonan cerai secara baik yang dibuat isterinya Lizda Nuryanti Abidin, 32, pada 17 Julai lalu.
Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar membuat keputusan itu selepas Ezany memberitahu mahkamah dia sudah memfailkan permohonan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap Lizda pada 22 Julai lalu.
Mohd Nurulazhar bagaimanapun memerintahkan pasangan berkenaan membentuk satu jawatankuasa pendamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka sebelum kes berkenaan disambung semula pada 3 September depan.
Pergolakan rumah tangga pasangan berkenaan tercetus selepas Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @Zohri Mohd Nizariff, 41, mengakui isterinya minta diceraikan sebelum dia membuat laporan polis berhubung dakwaan wanita berkenaan dilarikan oleh seorang lelaki dikenali pada 17 Julai lalu.
Selain nusyuz, Ezany menfailkan dua lagi tuntutan terhadap isterinya berhubung hak penjagaan dua anak mereka.
Ezany ketika itu memberitahu dia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang selepas isterinya tidak pulang ke rumah selama tiga hari.
Sementara itu, Ezany ketika ditemui diperkarangan mahkamah memberitahu, dia tetap akan meneruskan dengan permohonan nusyuz terhadap isterinya biarpun wanita berkenaan meminta diceraikan secara baik.
Jelas Ezany, perkara itu adalah yang terbaik buat masa ini selepas mendapat khidmat nasihat peguam mengenai kes berkenaan.
|
"Buat masa ini saya ikut apa yang dinasihatkan oleh peguam dan selebihnya kita tunggu pada perbicaraan nanti," katanya.
Tambah pelakon itu, dia juga telah menfailkan dua lagi tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hak penjagaan sementara dan hak penjagaan kekal terhadap dua anak mereka.
"Insya-Allah kes berkenaan (penjagaan anak) akan disebut di mahkamah pada 25 dan 27 Ogos ini dan anak-anak kini tinggal bersama saya selepas isteri bertindak keluar rumah sejak 19 hari lalu," katanya.
Ezany dan Lizda diijabkabulkan mereka pada 1 Julai 2007 dan mereka dikurniakan dua orang anak.
sumber
No comments: