» » 6 sebab mengapa Khalid perlu disingkirkan dari PKR


PKR menyenaraikan enam sebab mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus disingkirkan dari jawatan menteri besar Selangor, untuk meyakinkan PAS dan DAP calon lebih baik‎ diperlukan untuk memimpin negeri terkaya itu.

Dalam laporan diserahkan kepada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR), PKR mengatakan integriti Khalid dipersoalkan apabila hutang RM66.67 juta menteri besar penggal kedua itu diselesaikan di luar mahkamah, perjanjian tanah meragukan dengan pemaju, projek Lebuh Raya Kidex, perjanjian penstrukturan air dengan Putrajaya, isu berkaitan kenaikan yuran lesen perniagaan, isu pungutan sampah dan jalan berlubang.

Dalam laporan setebal 24 muka surat itu, PKR menyifatkan keputusan penyelesaian luar mahkamah antara Khalid sebagai luar biasa pada ketika pihak Bank Islam mempunyai kes yang kukuh.

"Tindakan Bank Islam tidak meneruskan kes yang bakal dimenanginya untuk mengutip hutang daripada si penghutang satu keputusan luar biasa yang sangat jarang berlaku kepada rakyat biasa," kata laporan itu.

Menurut laporan tersebut, penyelesaian itu juga dicapai di luar pengetahuan peguam Bank Islam iaitu Tetuan Tommy Thomas dan diketahui selepas pihak bank menggugurkan pertuduhan di saat akhir pada Februari 2014.

Laporan itu juga dipetik berkata setiausaha politik Khalid berjumpa dengan tokoh korporat rapat dengan Umno, Tan Sri Rashid Manaf untuk berunding penyelesaian hutangnya.

"Akhirnya setiausaha politik Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri mengesahkan menteri besar ada beberapa kali berjumpa dengan Tan Sri Rashid Manaf untuk merundingkan penyelesaian hutangnya," laporan tersebut dipetik berkata.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Khalid terlibat dalam urus niaga jualan tanah meragukan dengan Ecoworld Berhad, syarikat pemaju yang dipengerusikan Rashid sendiri.

PKR dalam laporan itu juga mendakwa Rashid sebagai tokoh yang rapat dengan Umno, beliau juga bekas peguam kepada Tun Daim Zainuddin yang juga bekas menteri kewangan.

Selain itu, keraguan juga ditimbulkan ketika penyelesaian tersebut dimeterai di mana ia berlaku pada masa sama "Langkah Kajang" diumumkan.

"Sebaik sahaja Langkah Kajang diumumkan, berita mula berlegar berlaku rundingan antara Khalid dengan Bank Islam yang diuruskan Rashid," kata laporan itu.

Laporan tersebut juga mendedahkan beberapa siri isu yang dilihat meragukan pihak PKR seperti rundingan air dan juga rayuan kes Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid menandatangani perjanjian penstrukturan air di antara kerajaan negeri Selangor dan Putrajaya pada 26 Februari dan sehari selepas itu, Pendaftar Mahkamah Rayuan memanggil Anwar untuk memaklumkan pengurusan kes beberapa permohonan rayuan akan didengari pagi itu juga.

Kemudiaannya, Anwar dijatuhi hukuman bersalah pada 7 Mac 2014 dan sekaligus menghilangkan kelayakan untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil Kajang.

"Kesemua fakta ini menimbulkan keraguan terhadap integriti Khalid dan mengundang pelbagai spekulasi," kata laporan itu.

PKR juga mendakwa Khalid sehingga hari ini gagal membuat penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan walaupun dinasihatkan.

Alasan kedua yang diberikan PKR adalah membabitkan perjanjian penstrukturan air antara Putrajaya dan kerajaan negeri Selangor, di mana ia didakwa merugikan.

"Beliau tidak menggunakan tekanan awam sebagai salah satu pendekatan untuk mendapatkan persetujuan daripada syarikat pemegang konsesi sedangkan umum mengetahui hubungkait syarikat ini dengan Umno dan Barisan Nasional," kata laporan itu.

PKR mempertikaikan langkah Khalid menggunakan pendekatan korporat (ala board room deals) dalam perjanajian air tersebut.

Alasan ketiga yang diberikan pula apabila Khalid secara terbuka menyokong pembinaan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) walaupun mendapat bantahan banyak pihak.

"Sokongan terbuka Khalid yang enggan memberi ruang kepada pendapat yang menentang juga bertentangan dengan arahan khusus yang dibuat Anwar mengenai pendekatan PKR mengurangkan bebanan rakyat dengan menentang kenaikkan tol," kata laporan itu.

Tiga alasan lain yang menjadi faktor keputusan menyingkir Khalid dipersetujui adalah melibatkan isu jalan berlubang, masalah sampah dan kenaikan lesen perniagaan sebanyak tiga kali ganda.

Khalid yang juga menteri besar dua penggal ketika ini berdepan kemungkinan disingkirkan partinya sendiri.

Malah, PKR sendiri secara terbuka mengumumkan pengganti Khalid dengan meletak presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon.

Bagaimanapun, Khalid sehingga hari ini masih berkeras dan menyatakan pendirian enggan berganjak daripada jawatan menteri besar.

Dalam perkembangan terkini, Lembaga Disiplin PKR juga sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Khalid dan perlu menjawab sebelum Jumaat ini.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .