Sebagai penyanyi yang sudah lama menyanyikan lagu-lagu tradisional, Noraniza Idris sendiri mengakui bahawa lagu genre itu juga semakin kurang diputarkan di corong radio.
“Radio sering memainkan lagu yang sama dan ini menyebabkan pendengar tidak didedahkan dengan lagu irama Malaysia. Sememangnya peranan radio sangat penting.
“Sekarang ini, kita tidak boleh bergantung kepada radio sahaja. Kita memerlukan medium lain untuk memperkenalkan lagu-lagu tradisional. Bagi saya, penggunaan Internet merupakan cara lain untuk membuat promosi secara meluas kerana rangkaiannya lebih besar,” kata Noraniza.
Bagi memperkenalkan irama tradisional di kalangan anak muda, Noraniza sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi mengadakan bengkel mempelajari tarian asas zapin di Johor.
“Seramai 300 orang telah menghadiri bengkel yang diadakan secara percuma itu. Apa yang menariknya, mereka membuat tarian zapin secara flash mob di samping dapat memperkenalkan jenis-jenis tarian zapin kepada orang ramai.
“Bagi saya ia merupakan satu perkara yang dapat menarik minat orang ramai mengenai budaya tarian zapin yang bukan sahaja terdapat di Johor, malah terdapat juga di negeri lain,” katanya lagi.
Noraniza kini ada lagu baru, sebuah lagu raya berjudul Kalimah Lembaran khusus untuk memeriahkan Aidilfitri tahun ini. Lagu ciptaan Pak Ngah itu dirakam bersama Razis Ismail dan Azmir Arif.
No comments: