Akhbar Britain tersebut menunjukkan gambar seorang pegawai daripada Republik Donetsk menandatangani memorandum untuk menyerahkan kotak hitam tersebut kepada pegawai atasan Malaysia.
Ketua puak pemisah Alexander Borodai awal pagi Selasa menemui delegasi Malaysia selama lebih dua jam, kata akhbar tersebut.
"Ini dia, kotak hitam pesawat," kata Borodai kepada bilik yang penuh dengan wartawan di ibu pejabat Republik Donetsk, lapor AFP, ketika seorang anggota bersenjata meletakkan kotak-kotak tersebut di atas meja.
Borodai juga menafikan puak pemisah pro-Rusia yang menembak jatuh Boeing 777-200 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu.
Beliau dipetik berkata, "pihak Ukraine mempunyai keupayaan teknikal serta motif (untuk menembak MH17)".
Mereka juga bersetuju mengadakan gencatan senjata di kawasan lokasi terhempas pesawat itu.
Pemulangan kotak hitam – yang dikatakan masih dalam keadaan baik – kepada pihak Malaysia, adalah berikutan keputusan untuk menghantar 282 mayat daripada lokasi terhempas MH17 ke Belanda untuk siasatan lanjut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, semalam 282 mayat tersebut sudah pun bertolak dengan keretapi ke arah Kharkiv di mana wakil dari Belanda akan mengambilnya.
Kebanyakan mangsa adalah warganegara Belanda.
Di New York, Reuters melaporkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyelar serangan ke atas MH17 dan menuntut pasukan bersenjata membenarkan 'akses selamat, terlindung, penuh dan tiada halangan' ke tapak terhempasnya pesawat itu.
Majlis 15 anggota itu sepakat mengguna pakai resolusi yang dirangka Australia meminta pihak yang terlibat bertanggungjawab atas perbuatan mereka dan semua pihak berkaitan bekerjasama sepenuhnya dalam usaha menyiasat siapa yang bertanggungjawab.
"Menjadi tanggungjawab kami terhadap mangsa dan keluarga mereka untuk menyiasat apa yang terjadi dan siapakah yang bersalah," kata Menteri Luar Julie Bishop, yang hadir di New York untuk membincangkan resolusi PBB itu. Australia kehilangan 28 rakyatnya dalam nahas itu.
Beliau bercakap tentang beberapa mangsa dari Australia, termasuk tiga kanak-kanak – berumur 8,10 dan 12 – yang sedang dalam perjalanan pulang dari Eropah bersama datuk mereka dalam pesawat MH17 Khamis lalu.
"Perasaan sedih ibu bapa mereka tidak dapat dibendung lagi," kata Bishop.
Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya menyalahkan puak pemberontak pro-Rusia yang didakwa menembak pesawat tersebut.
Bishop memberitahu majlis tersebut bahawa Rusia perlu menggunakan 'pengaruhnya terhadap puak pemisah' untuk mendapatkan akses kepada lokasi terhempas tersebut.
Rusia sebagai anggota majlis yang memegang kuasa veto mengundi untuk resolusi tersebut pertukaran dibuat kepada beberapa ayatnya, termasuk daripada perkataan 'menembak jatuh' kepada 'menjatuhkan' dalam memberi gambaran kepada insiden tersebut.
Permintaan dari Moscow untuk mengeluarkan rujukan kepada pasukan bersenjata tidak dibenarkan.
Resolusi tersebut menuntut 'pasukan bersenjata yang mengawal lokasi kapalterbang terhempas dan sekitarnya tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan integriti tapak kejadian, termasuk tidak memusnahkan, memindahkan atau mengganggu bangkai pesawat, kelengkapan, serpihan serta barangan peribadi dan mayat."
No comments: