Menurut perdana menteri, mayat yang kini berada dalam gerabak keretapi dengan kemudahan sejuk beku di Tores akan di bawa ke Kharkiv, Ukraine, sebelum diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat Belanda Hercules C130 bersama enam anggota pasukan Malaysia.
Najib ketika sidang media khas di kediamannya di Putrajaya, awal hari ini berkata, perkembangan itu dicapai selepas beliau bercakap dengan Alexander Borodai, ketua pemberontak di wilayah tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh, 50km dari Rusia.
"Berhubung tugas forensik, mayat rakyat Malaysia kemudiannya akan diterbangkan ke Malaysia," kata Najib pada sidang media itu.
"Keduanya, dianggarkan jam 9 malam waktu Ukraine hari ini (jam 3 pagi hari Selasa, waktu Malaysia), dua kotak hitam akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk, yang akan menjaganya," katanya.
Beliau berkata, hasil rundingan bersama Borodai itu juga membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa diberikan jaminan keselamatan untuk memulakan penyiasatan penuh insiden malang berkenaan.
"Lebih banyak tugas yang perlu dilakukan, tugas yang bergantung dengan komunikasi berterusan dengan niat yang baik.
"Borodai dan orang-orangnya setakat ini memberikan kerjasama penuh," katanya.
Najib juga meminta semua pihak bekerjasama untuk memastikan persetujuan ini dihormati.
"Mayat rakyat kita dikembalikan, kotak hitam diserahkan, dan pasukan penyiasat diberikan akses penuh," katanya.
Menurut Najib, melalui perkara itu penyiasatan penuh insiden nahas pesawat MH17 dapat dilakukan.
"Kita perlu mengetahui punca kemalangan dan siapa yang bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk kru dan tiga bayi dipercayai ditembak jatuh pada Khamis ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Najib pada sidang media itu berkata, beliau ingin menyuarakan dengan lantang kemarahan dan kesedihan yang dirasai rakyat Malaysia.
"Saya merasai perkara itu, namun kita perlu bekerja dengan senyap untuk memberikan keputusan yang lebih baik.
"Hati saya dekat dengan mereka yang kehilangan anggota keluarga mereka," katanya, dan menambah, persetujuan yang dicapai hari ini akan memberikan laluan untuk penyelesaian isu ini.
No comments: