» » 'Tiada sebab dan tidak ada kelengkapan untuk tembak MH17'


Pemimpin puak pemisah pro-Rusia berkata pasukannya tidak memiliki sebarang senjata roket dari permukaan ke udara untuk menembak pesawat Malaysia Airlines MH17, seperti didakwa Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

"Saya tegaskan di sini, kami tidak memiliki walau satu pun sistem 'BUK' (misil dari darat ke udara)," kata Alexander Borodai, pemimpin puak pemisah Republik Rakyat Donetsk, kepada CNN.

"Saya boleh senaraikan alatan pertahanan yang kami ada. Semua alatan ini hanya berupaya menyerang sasaran yang terbang rendah."

Borodai menepis dakwaan pelbagai pihak yang percaya pemberontak menembak jatuh pesawat itu di timur Ukraine di wilayah Donetsk, sekaligus menyebabkannya terhempas dan membunuh kesemua 298 penumpang.

"Saya tidak tahu nak kata apa lagi kerana komuniti dunia enggan mendengar. Kami tiada alasan untuk menembak jatuh pesawat dan Ukraine gunakan alasan ini untuk musnahkan kerajaan kami," katanya.

Borodai juga ditanya berkenaan posting Twitter, yang perisikan Barat ambil sebagai bukti menunjukkan pemberontak mempunyai BUK, peluru berpandu zaman Soviet yang mampu menembak dari jarak jauh.

"Mudah untuk menepisnya. Semua maklumat yang datang dari Internet, pada pendapat saya, hanya tipu semata-mata," katanya.

Katanya pasukannya tidak mendapat apa-apa manfaat dengan menembak pesawat awam, sebaliknya, “bagi Ukraine, musuh kami, terhempasnya pesawat itu amat bermanfaat untuk mereka”.

Enggan mengulas soalan CNN berkenaan sokongan yang diterimanya dari Moscow, Borodai berkata dia tidak boleh mengulas soalan berkenaan Rusia kerana dia hanya mewakili pihak pejuang pemisah.

Temubual itu adalah kali pertama oleh ketua puak pemisah berkenaan sejak pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai.

Selari dengan penafian Borodai, Rusia mendakwa pesawat tempur kerajaan Ukraine berkemungkinan yang menembak jatuh Boeing 777 itu.

Andrei Kartapolov, ketua General Staff Main Operational Directorate, berkata pesawat tempur Ukraine, Su-25 mengekori MH17 sebelum ianya terhempas.

Beliau berkata, pesawat MAS itu hilang kelajuan pada 17.20 dan lenyap dari radar pada 17.23. Ia kemudiannya tersasar dari laluannya menghala ke utara arah Donetsk, pada satu tahap sejauh 14 kilometer.

"Alasan keluar dari laluan – sama ada krew melakukan kesilapan atau mengikut arahan pusat kawalan trafik udara Ukraine – boleh diketahui hanya melalui kotak hitam dan rakaman perhubungan dengan pusat kawalan udara," kata Kartapolov.

Puak pemisah semalam menyerahkan kotak hitam, yang berkemungkinan akan merungkai punca nahas, kepada pegawai Malaysia.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .