» » Datuk Siti Nurhaliza Cadang Artis Bantu Pulih Imej MAS


Golongan artis boleh memainkan peranan membantu pihak berwajib dalam membaik pulih semula imej Malaysia Airlines (MAS) yang tercalar ekoran insiden-insiden di luar dugaan yang berlaku, akhir-akhir ini.

Demikian cadangan Datuk Siti Nurhaliza yang mengakui terkesan dengan musibah yang melanda penerbangan negara sehingga meragut ratusan nyawa yang tidak berdosa.

Mac lalu, pesawat MH370 dilaporkan hilang di Lautan Hindi semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Seramai 227 orang penumpang bersama 12 anak kapal berada dalam pesawat tersebut. Sehingga hari ini, misteri kehilangan MH370 masih belum terjawab.

Pada 17 Julai lalu, pesawat MAS iaitu MH17 pula dipercayai ditembak jatuh di wilayah bergolak di timur Ukraine, dekat sempadan Rusia, yang dipercayai akibat peluru berpandu darat ke udara (SAM). Nahas ini mengorbankan kesemua 283 orang penumpang dan 15 anak kapal.

“Dari kecil sehingga sekarang, Siti melihat bagaimana MAS memberi perkhidmatannya yang terbaik. Pendek kata, MAS sudah menjadi lambang kebanggaan negara kita.


“Jadi janganlah kerana beberapa kejadian malang yang berlaku kepada MAS kebelakangan ini, kita sewenang-wenangnya menghentam dan menjatuhkan imej MAS.

“Memang ada pihak yang ingin melihat ‘lambang kebanggaan’ negara kita ini jatuh. Oleh itu, kita jangan mudah terpengaruh dengan hasutan-hasutan yang memang berniat menjatuhkan apa yang telah negara kita bangunkan sekian lama,” kata Siti Nurhaliza.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran album terbarunya, ‘Fragmen’ yang juga merupakan album solo Bahasa Melayu Siti yang ke-15 di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, semalam.

Bintang tersohor ini turut mencadangkan kepada rakan-rakan artisnya yang lain agar bersama-sama dengan pihak berwajib dalam memainkan peranan memulihkan semula imej MAS.

“Siti lihat ada beberapa artis lain seperti Lisa Surihani, Zizan Razak dan beberapa orang lagi mempunyai jumlah pengikut yang besar di akaun laman sosial media milik mereka. Mungkin para artis boleh gunakan pengaruh mereka menerusi Instagram, Twitter dan Facebook untuk memberikan informasi positif tentang MAS.


“Sekurang-kurangnya kita dapat membantu penerbangan kebanggaan negara kita di saat-saat ia dilanda dugaan getir seperti ini,” ujar Siti Nurhaliza yang turut menyampaikan rasa simpatinya kepada keluarga mangsa MH370 dan MH17.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .