Bagi Marissa, setiap watak yang dibawa adalah satu pembelajaran baru untuk dia mencari kelainan dan meningkatkan lagi kualiti lakonan. “Saya bukannya jenis yang akan berhenti dalam melakukan sesuatu perkara sekiranya saya sudah puas. Boleh dikatakan saya tidak pernah berpuas hati dengan lakonan saya dalam setiap drama.
“Setiap drama jugalah saya belajar dan terus belajar untuk mendalami sesuatu watak dengan lebih mendalam lagi. Kerana itulah saya suka berlakon dengan artis lama. Mereka banyak memberi nasihat kepada kita dan mereka sememangnya tidak lokek ilmu,” ujarnya.
Dia sendiri mengakui sering menerima tawaran watak sebagai ibu. Meskipun begitu, dia tetap bersyukur dengan apapun tawaran yang diterima. “Memang tidak dinafikan watak ibu sinonim dengan saya. Mungkin kerana size badan saya yang agak tinggi serta perwatakan saya seperti ibu.
“Bagi saya, tidak semua pelakon boleh membawakan watak itu,” katanya yang memegang watak ibu kepada Katerina (lakonan Maya Karin) dalam filem Lagenda Budak Setan 3.
Tiada Rezeki Anak
Marissa yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga masih lagi belum dikurniakan cahaya mata. Katanya, “Saya sangat suka kanak-kanak. Ada antara saudara saya sudah pun mempunyai anak, tetapi saya masih lagi belum ada rezeki.
“Memang saya ada berjumpa dengan doktor tetapi ini semua adalah ketentuan tuhan. Mungkin tuhan ingin menduga saya dalam hal ini. Saya hanya berserah kepada-Nya.
“Kadang-kadang bila saya lihat anak orang lain, terdetik di hati saya, kalau saya ada anak mesti anak saya sudah besar seperti mereka,” kata Marissa.
Persiapan Raya
Kurang seminggu lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Bagi Marissa, persiapan raya kali ini lebih kepada menyediakan segala kelengkapan raya di kampungnya iaitu Kulim, Kedah.
“Beraya di kampung sangat seronok! Kita boleh rasa kenikmatannya. Untuk persiapan raya kali ini, saya lebih mengutamakan kelengkapan di kampung. Sekiranya ada kekurangan saya akan beli.
“Bagi persiapan untuk diri sendiri pula, saya tidak banyak membeli belah. Kadang-kadang saya beli baju tapi tidak pernah memakainya. Jadi, baju itu saya akan jadikan sebagai baju raya,” katanya lagi.
sumber
No comments: