Ahmad yang juga MP Pontian menganggap individu yang membangkitkan dakwaan ini sebagai "keliru dengan penstrukturan pembayaran pokok atau baki pinjaman".
"Bank Rakyat tidak sesekali memberi pinjaman kepada mana-mana individu, tanpa mengira kadar keuntungan. Tiada individu istimewa. Bank Rakyat tidak ada istilah individu anugerah tuhan atau sebagainya.
"Mana-mana cerita kononnya Bank Rakyat memberi pinjaman tanpa faedah kepada mana-mana individu istimewa tertentu, maka saya ingin tegaskan, Bank Rakyat tidak pernah berbuat demikian.
"Selaku institusi kewangan, semua mempunyai kiraan faktor keuntungan. Jadi apa yang ditimbulkan oleh (MP) Pokok Sena... dia tidak ada di sini... adalah tidak benar," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 di Dewan Rakyat ini.
Sebelum ini, MP Pokok Sena dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menuntut supaya Bank Rakyat menjelaskan mengenai dakwaan campur tangan politik dalam isu pembayaran balik pinjaman sebanyak RM40 juta oleh seorang usahawan permaidani.
Mahfuz yang juga ketua penerangan berkata Bank Rakyat dan kerajaan Malaysia perlu menjelaskan alasan dalam meluluskan pinjaman dan juga pembayaran balik tanpa faedah untuk pinjaman itu.
Mengulas lanjut, Ahmad (BN-Pontian) berkata tidak timbul soal pembayaran semula pinjaman yang sama dengan nilai yang dipinjam disebabkan "peminjam akan membayar lebih kerana faktor keuntungan atau caj-caj lain yang berkaitan".
Beliau turut menjelaskan "tidak timbul" campur tangan menteri berkaitan berhubung dakwaan ini, malah menteri itu sendiri sedia disiasat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telahpun mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini.
No comments: