Kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa tahap pendidikan negara rendah ada kebenarannya, kata Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh .
Idris berkata, perkara itu bukan perkara baru, malah, menyedari perkara itu berlaku, kerajaan melalui kementerian pendidikan membentuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk mengatasi kelemahan dalam sistem pendidikan negara.
"Kita sedar kalau mengikut Pisa kita antara yang terbawah. Kalau kita baca pelan pendidikan Malaysia, kita tahu itulah keadaannya... ia bukan perkara baru," katanya kepada pemberita selepas pertemuan ketua-ketua eksekutif institusi pendidikan tinggi swasta di Kuala Lumpur hari ini.
Melalui PPPM juga katanya, kerajaan menyasarkan untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.
Bekas Menteri Kewangan, yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li sebelum ini berkata sistem pendidikan negara sedia ada tidak berkesan membentuk negara maju sehingga memerlukan perubahan yang drastik dan radikal.
Selain gagal dalam penilaian antabangsa, pemimpin veteran Umno itu mendakwa sistem pendidikan gagal memupuk integrasi kaum serta gagal menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.
"Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di mana ibu bapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan.
"Diharapkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025 mengambil kira pandangan ini dengan maksud untuk melaksanakannya," katanya.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara juga gagal membentuk pelajar menguasai komunikasi sehingga kedudukan negara yang dihormati satu waktu dahulu kini terhakis.
Tengku Razaleigh berkata, sistem pendidikan sepatutnya menyumbang kepada keutuhan integrasi kaum, tetapi kini, polarisasi antara kaum adalah pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara sangat lemah sehingga mendapat perhatian dunia termasuk laporan Bank Dunia pada Mac lalu mengenai kebimbangan mutu pendidikan rendah serta penilaian menggunakan standard antarabangsa iaitu Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) dan Trend Pembelajaran dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) yang turut meletakkan Malaysia di tahap rendah.
Beliau mendakwa, kelemahan itu menyebabkan pembangunan ekonomi negara semakin ketinggalan berbanding prestasi negara yang dahulunya dianggap lebih ke hadapan daripada Hong Kong Taiwan, Singapura dan Korea Selatan.
Katanya, pada 1980 pendapatan per kapita Korea Selatan adalah AS$2,322 dan lebih rendah daripada Malaysia pada kadar AS$2,351.
Tetapi hari ini, katanya, pendapatan per kapita Korea Selatan lebih handal dengan AS$24,328 dan dua kali lebih besar daripada negara pada kadar AS$10,547.
Beliau turut membidas persepsi masyarakat akan hilang jati diri jika menggunakan bahasa Inggeris sebagai 'lingua franca', sebaliknya mengingatkan negara akan ketinggalan dan terus terpinggir daripada arus globalisasi jika tidak menguasainya .
No comments: