» » Tingkat taraf hidup rakyat dengan program pembangunan ekonomi


Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan ekonomi negara yang semakin berkembang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin .

Muhyiddin berkata, perancangan dan pelaksanaan program transformasi berkenaan juga merupakan langkah paling berani yang pernah dilaksanakan mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Alhamdulillah, berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak sama ada rakyat terbanyak, pihak swasta, penjawat awam, mahupun anggota pentadbiran, sebahagian besar matlamat yang dirancang berjaya dicapai.

"Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin berkembang manakala kedudukan kewangan kerajaan terus lestari," katanya ketika berucap sempena pertemuan dengan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Kuala Lumpur hari ini.

Hasil perkembangan ekonomi tersebut, menteri pendidikan itu turut berkata, kerajaan dapat membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup mereka apabila sejumlah RM40 bilion dibelanjakan tahun ini bagi subsidi bahan api, makanan, pendidikan dan sokongan isi rumah berpendapatan rendah.

"Lebih-lebih lagi dengan amalan subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk setiap ringgit yang dibelanjakan," katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bagi meneruskan perkembangan ekonomi, perbelanjaan berhemah melalui pengurangan perbelanjaan tidak produktif perlu dilakukan.

"Jika ekonomi kita hendak terus berkembang kukuh, kita bukan sahaja perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif, malah juga perlu memiliki sistem kutipan cukai yang adil, telus dan efisien.

"Dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), hasil negara kita akan meningkat dan kita boleh menggunakan lebih banyak wang untuk pelaburan dalam bidang-bidang produktif seperti infrastruktur asas, sekolah, dan penjagaan kesihatan," katanya.

Pelaksanaan GST menerima tentangan hebat daripada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis apabila mereka mengadakan demonstrasi terbuka membantah pelaksanaan cukai tersebut pada 1 Mei lalu di ibu negara.

GST dijangka akan dilaksanakan bermula April tahun hadapan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .