» »Unlabelled » MH370 : Teori kehilangannya tercetus semula


Daripada kemungkinan berhempas pulas di ruang udara hingga kepada kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “seseorang menyembunyikan sesuatu”, The Independent UK hari ini mengenang kembali 13 teori kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, selepas pihak berkuasa semalam mengisytiharkan pencarian berkos tinggi selama berbulan-bulan di selatan Lautan Hindi tidak berhasil.

Berada di senarai teratas The Independent ialah teori yang mencadangkan pesawat itu ditembak ketika pelaksanaan latihan ketenteraan, sesuatu yang disokong dalam buku kontroversi mengenai misteri itu tulisan Nigel Cawthorne yang baru dilancarkan.

Penyokong teori itu berkata, kemungkinan seumpama itu dikukuhkan oleh fakta wujudnya siri permainan perang di Laut China Selatan membabitkan Thailand, Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Indonesia dan beberapa yang lain.

The Independent turut memetik navigator tentera udara, Sean Maffett, yang berkata peluang pesawat itu ditembak adalah lebih besar jika ia terbang di koridor utara, satu daripada dua arah awal yang diandaikan diambil oleh pesawat itu, di mana negara di kawasan itu tidak akan berdiam melihat pesawat penceroboh.

Teori lain kehilangan misteri pesawat itu dikemukakan oleh blogger penerbangan, yang berkata ia terbang dalam “bayang” pesawat Singapore Airlines penerbangan 68 yang berada dalam kawasan sama pada masa itu, sebelum mengambil jalan lain kemungkinan ke wilaya Xinjiang di China, Kyrgyzstan atau Turkmenistan.

Sementara itu, teori lain menyatakan pesawat itu mungkin mendarat di pulau terbiar atau pangkalan tentera AS di Diego Garcia di Lautan Hindi, atau cuba membuat pendaratan kecemasan di Langkawi tetapi gagal tiba di sana.

Satu teori, kurang menyentuh mengenai konspirasi berbanding yang lain, cuba menjawab misteri terbesar kehilangan MH370 – ia senyap selepas komunikasi terakhir dengan pengawal penerbangan.

Ia mencadangkan kebakaran dalam pesawat merebak pantas, membunuh semua di dalamnya, sebelum pesawat ditukar kepada pemanduan autopilot dan terus terbang hingga kehabisan minyak.

“Tetapi kebakaran seperti itu dijangka merebak dengan sekurang-kurangnya sedikit amaran – dan ia sudah tentu memberi sedikit masa kepada juruterbang untuk mengeluarkan isyarat mayday,” komen The Independent.

Hampir sama, akhbar itu turut mempertikaikan cadangan letupan dalam kokpit.

“Penjelasan ini nampak tidak selari dengan dakwaan beberapa pegawai Malaysia, bagaimanapun, perubahan arah adalah hasil daripada ‘tujuh atau lapan ketukan papan kekunci di komputer yang berada pada ketinggian lutut antara kapten dan pegawai pertama’,” katanya.

Rampasan pada awalnya dianggap penyebab kehilangan pesawat itu, dan ia ditambah dengan dakwaan yang memetik pegawai Malaysia berkata pesawat itu terbang ke arah berlainan daripada destinasi, dan ada ketika berada pada ketinggian 45,000 kaki sebelum turun ke paras sangat rendah.

Sementara teori juruterbang bunuh diri dianggap mengarut oleh rakan mereka dan pegawai syarikat penerbangan, penumpang pesawat itu juga diandaikan kemungkinan menjadi dalang kehilangan MH370.

Siasatan tertumpu kepada mencari jika ada sesiapa membeli skim insurans hayat bernilai tinggi dan mendapat untung daripada pesawat terhempas.

Atau pun, dakwaan menyatakan ia mungkin cubaan untuk mencuri teknologi daripada 20 kakitangan syarikat cip silikon AS Freescale Semiconductor yang turut berada dalam pesawat itu.

Tetapi, individu paling penting memberikan pandangan terhadap kehilangan pesawat itu ialah Dr Mahathir, yang berkata kita tidak boleh menolak kemungkinan pesawat itu diambil menerusi kerjasama CIA dan Boeing.

“Untuk alasan tertentu media tidak memaparkan apa-apa yang membabitkan Boeing atau CIA. Saya harap pembaca akan baca ini,” The Independent memetik kenyataan Dr Mahathir daripada blognya.

Semalam, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang berpangkalan di Canberra berkata, pencarian yang tertumpu di kawasan selatan Lautan Hindi, di mana isyarat yang dianggap datang daripada perakam pesawat hilang itu dikesan, adalah sia-sia.

Ia berkata, operasi mencari kini memasukkan ulasan analisis yang mengenal pasti kawasan pencarian terkini meliputi zon seluas 60,000 kilometer persegi, dan menjalankan pemetaan bawah laut.

“Mengetahui keadaan rupa bumi dasar laut amat penting bagi membolehkan pencarian bawah laut yang seterusnya dilakukan,” kata JACC dan menambah pencarian bawah laut akan mengambil masa sehingga setahun sebaik saja ia bermula pada Ogos.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .