» » Tiada perjanjian perdagangan akan dimeterai semasa kunjungan Obama


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menyatakan bahawa tiada sebarang perjanjian perdagangan akan dimeterai semasa kunjungan Presiden AS Barack Obama, tetapi banyak isu akan dibincangkan untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Beliau berkata kunjungan Obama ke Malaysia, yang pertama oleh Presiden AS sejak Presiden Lyndon Johnson pada 1966, akan membincangkan pelbagai isu termasuk ekonomi, pertahanan, pendidikan dan keusahawanan.

"Ia merupakan peluang bagi kita untuk berkongsi isu-isu dan cabaran yang menjadi kebimbangan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia, Joseph Y. Yun dan Presiden AMCHAM Sanjeev Nanavati.

Yun berkata lawatan Obama menunjukkan kekukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.

Menurutnya, kunjungan itu akan mengukuhkan kerjasama bersama dalam pelbagai bidang, seperti pertukaran pendidikan, diplomasi, kerjasama serantau dan perkongsian dalam perdagangan dan pelaburan.

Sementara itu, Sanjeev berkata, lawatan tersebut penting kerana hubungan antara kedua-dua negara semakin bertambah baik hasil usaha daripada pentadbiran sekarang yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Asas hubungan ialah hubungan pelaburan dan perdagangan. Lawatan itu akan membantu mengukuhkan dan memberikan lagi dorongan kepada asas tersebut," katanya.

Lawatan Obama pada 26 hingga 28 April merupakan sebahagian daripada kunjungan presiden AS itu ke Asia yang termasuk Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .