PAS akan mengerahkan ahlinya di setiap kawasan Parlimen untuk turun menyertai Himpunan 1 Mei bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, sekurang-kurangnya dua bas bagi setiap Parlimen akan membawa peserta himpunan ke Kuala Lumpur, termasuk kumpulan penoreh getah di Baling, Kedah dan petani padi.
"Kawasan saya di Pokok Sena, paling kurang lima bas.
"Saya percaya peserta sedang digerakkan di seluruh negara oleh Pakatan Rakyat dan NGO," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.
Mahfuz turut memberikan jaminan kepada kerajaan bahawa himpunan itu akan berjalan dalam suasana aman jika tiada sebarang cubaan provokasi.
Himpunan sempena cuti umum Hari Pekerja akan bermula di sekitar Kuala Lumpur bermula jam 2 hingga 5 petang sebelum berakhir di Dataran Merdeka.
Dewan Rakyat pada 7 April lalu meluluskan Rang Undang-Undang GST 2014 menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali.
Sekaligus membuka ruang pelaksanaannya yang berkuat kuasa 1 April 2015 dengan kadar permulaan 6% menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen.
Sementara itu, Mahfuz turut mengumumkan majlis 'Keadilan Untuk Memali' hujung Mei depan anjuran PAS di madrasah yang diasaskan Ibrahim Libya bagi mengumpulkan mangsa dan waris yang terlibat semasa kejadian.
Beliau turut mengulangi desakan supaya Parlimen membatalkan 'Kertas Putih Memali 1986' selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mengakui mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad tidak ke China semasa kejadian, sebaliknya berada di Kuala Lumpur.
"Saya juga akan mempertimbangkan untuk membawa keluarga mangsa yang masih hidup untuk bertemu dengan Musa Hitam," katanya.
Tegasnya, jika tiada tindakan diambil kerajaan, pihaknya akan membawa perkara ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Raja-Raja (MRR) untuk menuntut hak mereka yang terjejas.
Sumber T-M-I
No comments: