Ketika memberikan reaksi terhadap penolakan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap keputusan kaji selidik itu, Pengarah Merdeka Center Ibrahim Sufian berkata, walaupun Putrajaya melakukan yang terbaik dalam mengendalikan tragedi itu, pelbagai teori konspirasi dan maklumat yang lambat sampai daripada pihak yang berkaitan menjadi punca persepsi negatif ini.
“Ia isu yang banyak berkaitan media dan tiada apa yang diketahui orang ramai selain apa yang dilaporkan di media dan media sosial.
“Keputusan kajian menggambarkan pemikiran orang ramai. Ia mungkin tidak mencerminkan kebenaran, namun ia menggambarkan persepsi berdasarkan maklumat yang mereka peroleh,” katanya.
Hasil kajian itu mendapati 26% responden percaya kerajaan telus sementara 54% lagi berkata kerajaan menyembunyikan kebenaran tentang MH370.
Seramai 1,029 responden menyertai kajian itu yang dijalankan Merdeka Center bagi mengetahui persepsi awam mengenai pesawat Boeing 777 yang dilaporkan hilang daripada radar dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Kehilangan pesawat MH370 mengundang seribu tanda tanya selepas ia dipercayai terhempas di Lautan Hindi.
Pelbagai negara menyertai kerja mencari dan menyelamat namun tiada tanda pesawat itu dijumpai.
Dalam kenyataan menolak kajian Merdeka Center yang dikatakan berunsur spekulasi dan tidak bertanggungjawab, Hishammuddin berkata pandangan awam tidak boleh dipercayai 100% dan tidak mengambarkan majoriti rakyat Malaysia kerana rakyat mahu kerajaan meneruskan kerja mencari bersama rakan daripada negara lain.
“Ada sekumpulan orang yang mungkin sinis mengenai usaha kami, namun kebenaran akan terserlah jua. Tiada apa yang kami sembunyikan,” kata Hishammuddin dalam satu sidang media pada Sabtu.
Ibrahim berkata mereka yang percaya kerajaan menyembunyikan sesuatu adalah di kalangan yang berumur 40 tahun ke bawah kerana terdedah kepada maklumat di Internet.
“Banyak teori konspirasi dan spekulasi di Internet berhubung kehilangan pesawat itu dan ia dikongsi ramai dalam bentuk persepsi awam.
Dalam menjelaskan metodologi kajian, Ibrahim berkata ia dijalankan menerusi telefon menggunakan kaedah sampel rawak yang distruktur mengikut umur, etnik dan jantina.
“Kami menjalankan kajian sama seperti sebelumnya di mana responden dipilih daripada serata kawasan di Semenanjung Malaysia. Ia juga menunjukkan taburan penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.
Sumber T-M-I
No comments: