Beliau berkata surat geran bernilai RM100 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat swasta itu bagi tujuan projek komersil mempunyai nota tertera ditujukan kepada menteri terlibat.
"YB Datuk Dr Ewon Ebin. Untuk pertimbangan. Saya tiada halangan jika projek itu sesuai," tulis surat seperti didedahkan oleh Rafizi pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Rafizi berkata dalam surat tersebut, menyatakan syarikat NSE Resources secara jelas mengatakan bahawa projek komersil tersebut tidak mendapat sokongan daripada institusi kewangan.
"Syarikat itu menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank. Ini sepatutnya secara serta merta menimbulkan kebimbangan di pihak Najib dan kerajaan kerana ia tidak melepasi saringan kewangan.
"Secara tidak langsung wujudnya risiko bahawa tidak mungkin adanya pulangan daripada projek itu untuk membayar balik sebarang dana yang disuntik kerajaan," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu turut membacakan perenggan ketujuh surat tersebut yang menyatakan, "NSERC memohon jasa baik YAB, dapat memberi sokongan terhadap permohonan geran sebanyak RM100 juta melalui Mosti. Ini adalah membantu kewangan NSERC kerana kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak bank."
Rafizi berkata sewajarnya Najib tidak mengambil sikap campur tangan dan berhati-hati kerana ia melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta.
"Ini adalah satu salahguna dana rakyat secara terang," katanya.
Oleh demikian, beliau menggesa Najib untuk memberi penjelasan mengenai perkara tersebut kerana masih terdapat banyak lagi dokumen yang akan didedahkan
"Najib tidak boleh terus lari daripada persoalan penyelewengan sebegini atau hanya menyertai larian anti rasuah, beliau perlu beri penjelasan," katanya.
No comments: