» » Theo Bos sukar dicabar


PELUMBA veteran Belkin-Pro Cycling Team, Graeme Brown melakukan tugas dengan baik untuk memastikan rakan sepasukan, Theo Bos muncul juara buat kali keempat pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Pada peringkat kesembilan dari Bandar Permaisuri ke Kuala Terengganu yang meliputi laluan sejauh 111.1 kilometer (km) itu, Brown membuka laluan pada jarak terakhir perlumbaan untuk membolehkan Bos mencatat kemenangan peringkat buat kali ketiga berturut-turut.

Bos yang bermula agak perlahan pada peringkat pertama di Langkawi melakukan henjutan yang berbisa ketika memasuki peringkat kedua (Sungai Petani-Taiping) dan terus garang pada peringkat ketujuh (Kota tinggi-Pekan) serta kelapan (Kuantan-Marang) sebelum melepasi garisan penamat di Kuala Terengganu semalam.


Sekali lagi tiba di garisan penamat dalam kelompok besar, strategi `menarik’ pada jarak 100 meter (m) terakhir yang dilakukan Brown berjaya membawa Bos ke hadapan dengan mudah untuk muncul juara dengan catatan masa dua jam 32 minit dan 21 saat.

“Pasukan saya terutamanya Brown melakukan tugasan dengan sempurna. Taktikal dan kesefahaman dalam usaha membuka laluan kepada saya untuk melakukan pecutan menuju ke garisan penamat sangat cemerlang. Mereka memudahkan kerja saya.

“Seperti hari ini (semalam), laluan di selekoh terakhir sangat mencabar tetapi ia tidak memberikan masalah besar kepada saya kerana berada di posisi yang betul hasil bantuan rakan sepasukan. Kami berada di hadapan sejak awal perlumbaan dan sepanjang saingan, terdapat beberapa pelumba yang cuba melepasi saya.

“Bagaimanapun, semuanya berjalan dengan baik termasuk pemecahan yang dilakukan. Cuma zon pecutan sangat sukar dan sebelum itu saya ada melihat Guardini (Andrea) cuba melepasi saya tetapi tidak berjaya,” kata pakar pecut dari Belanda itu.

Ketika ditanya kenapa dia tidak mengangkat tangan setiap kali melepasi garisan penamat, Bos berkata, dia terlalu letih untuk melakukannya.
“Sangat meletihkan terutamanya berlumba dalam keadaan cuaca yang panas terik. Bagaimanapun, cuaca hari ini (semalam) agak baik,” kata juara dunia sebanyak lima kali itu.

Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd. Saufi Mat Senan muncul sebagai pelumba Asia terbaik peringkat kesembilan dengan catatan masa dua jam 32 minit dan 21 saat, sekali gus mengatasi Mirsamad Pourseyedigolakhour yang merupakan pemegang Jersi Kuning dan Putih dalam senarai keseluruhan.

Dipetik dari





About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .